Bomba berkata kebakaran melibatkan bangunan sekolah yang mempunyai lapan bilik termasuk stor, bilik seni, bilik reka bentuk dan teknologi serta bilik kesihatan. (Gambar Bernama)
PADANG BESAR: Sebuah bangunan lapan bilik di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit musnah kira-kira 90% dalam kebakaran pagi tadi yang turut menyebabkan seorang pekerja kebersihan swasta cedera melecur 30%.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Mohamad Azhar Yussof, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 11.05 pagi sebelum tiba di lokasi kira-kira 13 minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan bangunan sekolah yang mempunyai lapan bilik termasuk stor, bilik seni, bilik reka bentuk dan teknologi (RBT) serta bilik kesihatan. Api dipercayai bermula dari bilik stor sebelum merebak ke bilik lain bersebelahan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Azhar berkata, operasi pemadaman melibatkan anggota dari Balai Bomba Padang Besar, Kangar dan Arau serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dengan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.
“Operasi sedikit sukar pada peringkat awal kerana sumber air terhad dan pili bomba berhampiran tidak berfungsi, menyebabkan pasukan terpaksa menggunakan air dari kolam berdekatan sebelum bantuan tangki tiba,” katanya memaklumkan punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.
Beliau berkata, pekerja kebersihan yang merupakan lelaki berusia 29 tahun melecur pada bahagian belakang paha namun mangsa dalam keadaan stabil dan dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin, berkata semua 192 murid dan 18 guru sekolah tersebut selamat dan dipindahkan ke dewan sebaik sahaja kebakaran dikesan.
“Bangunan yang terbakar ini sebenarnya dirancang untuk dinaik taraf sebagai blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) pada tahun depan tetapi disebabkan kejadian ini, kita akan menilai semula keperluan untuk menyediakan kemudahan yang lebih kondusif,” katanya.
Katanya, sekolah akan beroperasi seperti biasa esok memandangkan bilik darjah tidak terjejas dengan kebakaran, selain turut merakamkan penghargaan kepada pasukan bomba yang bertindak pantas memadamkan kebakaran serta memastikan keselamatan warga sekolah terjamin.
