Talian bantuan 24 jam yang diuruskan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terima ribuan panggilan setiap bulan berkaitan kes penderaan, pengabaian dan tekanan emosi.
PETALING JAYA: Setiap kali seseorang menghubungi 15999, pegawai terlatih di Talian Kasih akan menjawab panggilan – bersedia mendengar, menilai keadaan dan membantu mangsa mendapatkan bantuan sewajarnya.
Talian bantuan 24 jam ini dikendalikan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang menerima ribuan panggilan setiap bulan melibatkan aduan penderaan, masalah keluarga, dan tekanan emosi.
Setiap panggilan akan diuruskan secara bersepadu, biasanya melibatkan pegawai kebajikan, kaunselor, dan jika perlu, bantuan polis atau hospital.
Menurut Ketua Komunikasi Korporat KPWKM, Rozilah Katan, proses bantuan bermula sebaik sahaja panggilan atau mesej diterima.
“Pegawai akan menilai sama ada ia hanya bertanya soalan atau aduan. Jika pertanyaan, maklumat akan diberikan melalui panggilan, WhatsApp atau aplikasi mudah alih.
“Jika ia aduan, pegawai akan merekodkan maklumat penting seperti nama, alamat dan lokasi sebelum dihantar kepada pejabat kebajikan daerah terdekat untuk tindakan pada hari yang sama.”
Katanya, siasatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut prosedur operasi standard dan laporan kemajuan tindakan perlu dihantar dalam tempoh 14 hari.
Menurut Rozilah, setiap panggilan dinilai tahap risiko. Kes kecemasan seperti penderaan kanak-kanak atau keganasan rumah tangga akan diberi perhatian segera dan dirujuk terus kepada pihak berkaitan.
“Keselamatan mangsa sangat diutamakan. Identiti mereka dirahsiakan dan tindakan susulan akan dibuat mengikut SOP,” katanya.
Semua pegawai Talian Kasih telah mengikuti latihan kaunseling, pengurusan krisis dan cara menangani kes kecemasan seperti penderaan dan keganasan rumah tangga.
“Talian Kasih bukan sekadar tempat mengadu. Ia adalah langkah awal untuk mendapatkan bantuan lanjut,” jelasnya.
Setiap aduan dihantar kepada JKM untuk siasatan dan bantuan di lapangan. Pegawai akan membuat lawatan ke rumah, menilai keadaan dan memberi bantuan seperti perlindungan, bantuan kebajikan atau sesi kaunseling.
Kes yang berisiko tinggi seperti keganasan rumah tangga, penderaan fizikal atau seksual serta pengabaian kanak-kanak akan diuruskan segera termasuk penempatan sementara yang selamat dan sokongan psikologi.
Antara Mei hingga September tahun ini, Talian Kasih menerima:
13,243 permohonan bantuan kebajikan
11,192 panggilan berkaitan kaunseling
3,041 aduan melibatkan kanak-kanak
Dalam temu bual dengan FMT, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata, kebanyakan panggilan datang daripada kumpulan sasar kementerian seperti wanita, kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya.
“Dari golongan wanita, banyak berkaitan keganasan rumah tangga dan bantuan kebajikan. Ada juga yang bertanya berkaitan program bantuan yang boleh membantu mereka,” katanya.
Beliau turut menyatakan semakin ramai rakyat kini berani tampil membuat laporan, termasuk bagi pihak orang lain.
“Itu yang kita mahu – masyarakat saling prihatin.”
Nancy berkata kempen “Awak OK Tak?” yang dilancarkan pada 12 Okt bertujuan menggalakkan orang ramai berkongsi masalah dan tidak memendam tekanan.
“Kempen ini bersama Talian Kasih memastikan suara golongan yang memerlukan bantuan didengari dan dilindungi.
“Apabila seseorang hubungi 15999, kita pastikan bantuan tidak terhenti pada panggilan sahaja. Kita akan memantau kes itu sehingga mangsa benar-benar telah diberikan bantuan,” katanya.
