Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 menjadi wadah penyelesaian untuk melaksanakan segala tuntutan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Penyelesaian tuntutan dalam Perjanjian Malaysia (MA63) perlu dilaksanakan melalui perbincangan dan rundingan yang rasional bukannya melalui konfrontasi, ‘berperang’ atau perselisihan, tegas Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kerajaan Madani komited menyelesaikan tuntutan itu secara menyeluruh, antaranya melalui perbincangan dan rundingan dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
“Sekarang pun kita sedang berbincang. Fadillah mengetuai jawatankuasa teknikal, kita adakan mesyuarat untuk bincang bersama. Jika setuju, kita laksanakan; jika tidak, bincang semula dan undi lagi. Inilah cara kita bekerjasama, bukan untuk ‘berperang’,” katanya menurut Bernama pada Program Rancakkan Madani, di Kota Kinabalu.
Hadir sama, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa, serta lebih 2,000 peserta program termasuk pelajar universiti dan komuniti setempat.
Menyentuh mengenai tuntutan pemulangan hasil 40% untuk Sabah, perdana menteri menyeru semua pihak mendalami dan memahami perkara tersebut terlebih dahulu.
“Saya tadi (melawat) Jalan Gaya, dengar jeritan tentang hasil 40% Sabah. Dengarlah dulu, fahami dulu. Memang terkandung dalam MA63, tetapi tiga tahun lalu (sejak kerajaan Madani mentadbir), kita sudah membincangkannya,” katanya.
