Murid lemas: Jabatan pendidikan KL siasat pematuhan SOP program

Seorang murid PPKI berusia 11 tahun meninggal dunia ketika mendapat rawatan selepas lemas ketika jalani program sokongan keyakinan air di Sungai Besi pada Rabu. (Gambar Envato Elements)

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) akan melaksanakan siasatan dalaman bagi meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penganjuran program sokongan keyakinan air, susulan kematian seorang murid lelaki berusia 11 tahun semalam.

JPWPKL memaklumkan kes itu kini berada dalam siasatan pihak polis dan pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan.

“JPWPKL menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga murid yang kematian kerana lemas sewaktu menyertai sebuah program luar baru-baru ini. Bantuan awal dan sokongan telah diberikan kepada keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan jabatan itu, pasukan kaunselor serta guru bimbingan dan kaunseling telah digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru serta seluruh warga sekolah terbabit.

Murid sebuah sekolah kebangsaan di Kuala Lumpur itu disahkan meninggal dunia semalam selepas dua hari mendapat rawatan setelah lemas ketika menjalani program sokongan keyakinan air di Kolam Renang Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi, pada Rabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian menimpa murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) itu pada hari kejadian.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *