PRN Sabah: Risiko ‘friendly fire’ kian ketara di kerusi sensitif

Spekulasi bertiup kencang pertembungan atara komponen dalam Pakatan Harapan seperti di Inanam yang mana Upko dikatakan mahu mencabar kerusi disandang PKR.

PETALING JAYA: Kemungkinan pertembungan sesama sendiri antara parti bekerjasama pada PRN Sabah dilihat semakin jelas di kerusi dianggap sensitif yang menurut penganalisis, kemenangan bukan lagi ditentukan kesetiaan logo tetapi rekod perkhidmatan.

Penganalisis meramalkan pertembungan mesra di kerusi seperti Petagas yang mempunyai rekod ‘berpindah tangan’, merujuk penyertaan penyandangnya Awang Ahmad Sah Awang Sahari daripada Warisan ke Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua PKR Sabah, Mustapha Sakmud, mengakui parti itu mengintai meletakkan calon mewakili PH di DUN berkenaan. Namun, pada masa sama, Ahmad Sah mahu mempertahankan kerusi itu bawah tiket GRS.

Spekulasi turut bertiup kencang pertembungan antara komponen dalam Pakatan Harapan (PH) seperti di Inanam yang Upko dikatakan mahu mencabar kerusi disandang PKR. Upko sebelum ini bercadang bertanding atas logo sendiri.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, keadan itu mungkin bukan lagi sekadar spekulasi malah diakui Pengerusi GRS Hajiji Noor yang menyebut ‘berlanggar sikit-sikit tu bolehlah’.

“Perkara itu boleh dijangka dan diterima sebahagian dinamik politik PRN Sabah.

“Sentimen di akar umbi pula menunjukkan pengundi semakin matang dan menilai calon berdasarkan rekod perkhidmatan dan kehadiran fizikal, bukan semata-mata berdasarkan logo parti,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, ada beberapa kerusi yang buntu untuk dimuktamadkan membabitkan GRS, PH dan BN kerana setiap parti mahu meletakkan calonn pada pilihan raya 29 Nov.

Sebagai rekod, GRS bekerjasama dengan PH namun tidak dengan BN, tetapi pada masa sama dua parti berpangkalan di Semenanjung itu turut menjalinkan kerjasama secara berasingan.

Minggu lalu, Mustapha mendakwa PKR hampir pasti mewakili PH di 10 hingga 12 kerusi selepas perbincangan GRS dan BN yang setakat ini Gum-Gum, Karamunting, Segama, Merotai, Inanam, Petagas, Api-Api, Sindumin dan Melalap.

Pengumuman itu mencetuskan kritikan terutama bagi Gum-Gum dan Segama diintai BN. Penyelaras BN Segama, Firdaus Nuljari, menegaskan DUN itu bukan kerusi rundingan terbuka sebaliknya kekal sebagai kawasan tradisi parti terbabit.

Namun, Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail, semalam mengesahkan tiada pertembungan antara BN dan parti itu. Perkara tersebut juga disahkan Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan.

Tetapi bagi PH-GRS, Saifuddin berkata hanya ada satu kerusi belum dimuktamadkan.

Penyelidik Borneo Geo-Politics & Electoral Studies (GeoPES), Syahruddin Awang Ahmad, pula berkata pertembungan itu mungkin menguji penerimaan akar umbi yang boleh mencetuskan bantahan senyap.

“Penyokong di peringkat akar umbi kini berada dalam keadaan bercampur-campur, terutama selepas beberapa siri perubahan gabungan kerajaan sejak 2018.

“Keadaan ini boleh menyebabkan kekeliruan dan kekecewaan dalam kalangan pengundi setia dan jentera parti,” katanya memberi amaran pertembungan sesama sendiri atau ‘friendly fire’, boleh memberi kelebihan kepada lawan.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku unsur sabotaj kempen, di mana aktivis parti enggan turun membantu calon rakan gabungan yang dirasakan ‘menyusup’ ke kerusi tradisi mereka.

“Sekiranya keadaan ini tidak ditangani segera melalui rundingan kerusi yang kemas, pembangkang boleh menang dengan majoriti tipis,” katanya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *