Seorang kawan lama menghantar kepada saya pesanan teks menerusi aplikasi WhatsApp pagi semalam: “Hamzah dah saiko Muhyiddin mengenai jawatan presiden, bro.”
Hamzah dan Muhyiddin tentulah merujuk kepada Hamzah Zainudin dan Muhyiddin Yassin respectively. Jawatan presiden pastilah jawatan nombor satu Bersatu yang disandang Muhyiddin. Hamzah timbalan. Sekadar beritahu yang semua dah tahu. To get it out of the way dalam konteks penulisan ini sebelum bercerita lanjut.
‘Saiko‘ kawan saya maksudkan sebenarnya psychological warfare atau singkatnya ‘psywar‘. Diterjemah jadi peperangan psikologi atau ‘perang saraf’.
Menurut Wikipedia (saya ringkaskan), “perang saraf, peperangan psikologi merupakan perang yang menggunakan psikologi dan propaganda untuk melemahkan musuh serta menghancurkan tekad mereka untuk berperang.”
“Ia digunakan sebelum atau semasa peperangan untuk mencegah atau memenangkan konflik tersebut dengan cara menggertak, mengancam dan menakut-nakutkan tanpa perlu benar-benar menyerang dengan senjata secara langsung.”
That’s putting it in a nutshell. Penjelasan Wikipedia bersabit peperangan mutlak mengikut pengetahuan atau pemahaman kita yakni perang as in war. Tetapi apa yang kawan saya cakapkan berhubung perang saudara dalam Bersatu yang sedang ditonton ramai. Kawan saya percaya Hamzah sedang melancarkan perang saraf ke atas Muhyiddin dan pasukannya. Dalam erti lain Hamzah sedang main mind games.
Kawan saya berpendapat demikian susulan laporan media termasuk di FMT pada 5 November lalu yang memetik Hamzah berkata (mendakwa?) Muhyiddin berhasrat menyerahkan jawatan presiden kepadanya. “Apabila Muhyiddin berundur nanti,” itu katanya. Pada hemat saya itu ialah kata kuncinya. Ini kita cerita kemudian.
Mungkin ada benarnya anggapan kawan saya bahawa Hamzah sedang saiko Muhyiddin. Terpulang interpretasi masing-masing. Pun begitu pada pandangan saya ada beberapa persoalan penting timbul berikutan apa yang Hamzah kata seperti dilapor media.
Pada wawancara dengan siaran radio BFM tempoh hari yang dipetik FMT, Hamzah mengulangi sokongannya yang ‘tidak berbelah bahagi’ kepada Muhyiddin sebagai presiden Bersatu, sepertimana yang dizahirkan dalam ucapannya pada himpunan agung parti September lalu.
Oleh itu, berdasarkan lafaz sokongannya, soal Hamzah menggantikan Muhyiddin tidak harus timbul atau dibangkitkan sekarang? Boleh saya bertanya begitu? Lagi pun Hamzah sendiri berkata, “tidak sepatutnya timbul lagi sebarang persoalan kerana saya telah beri sokongan penuh kepada presiden saya”.
Selain faktor ‘sokong penuh’ itu, Hamzah juga kata Muhyiddin mahu serah jawatan presiden kepadanya apabila beliau yakni Muhyiddin berundur nanti. Saya ulangi apa yang saya kata tadi. Ini kata kuncinya.
Kata Hamzah, “umum diketahui bahawa presiden (Muhyiddin) mahu serahkan ‘baton’ kepada saya apabila beliau bersedia”. Kata Hamzah lagi (ini penting dan menarik) persoalan bila peralihan kepimpinan itu akan berlaku terserah sepenuhnya kepada Muhyiddin.
“Persoalannya adalah peralihan dan itu bergantung kepada presiden bila mahu serahkan ‘baton’ itu,” kata Hamzah yang menyamakan peralihan dengan acara lari berganti-ganti.
Perhati apa kata beliau lagi: “bagi saya terpulang kepadanya (Muhyiddin). Seperti lari berganti ganti 4×100 (meter) mungkin saya pelari kedua dan beliau yang pertama. Saya hanya menunggu (selagi beliau presiden). Sebaik sahaja beliau serahkan ‘baton’ saya akan ambil dan lari.”
Jika begitu keadaannya pertanyaan saya ialah selagi pelari pertama yakni Muhyiddin belum menyerahkan ‘baton’, pelari kedua yakni Hamzah akan tetap tunggu. Iya lah dalam acara larian berganti-ganti jika baton tidak diserah apa yang hendak disambut pelari seterusnya. Nak lari bawa apa?
Jadi pertanyaan penting ialah jika Hamzah setia tunggu sehingga Muhyiddin benar-benar bersedia serah ‘baton’, mengapa ada pemimpin kanan Bersatu dan sebilangan ketua bahagian parti dilihat mendesak dan menuntut (istilah lembutnya ‘mahu’ atau ‘menasihati’) Muhyiddin berundur sekarang? Perlu dinyatakan mereka semua dikatakan penyokong Hamzah. Bak kata seorang pemerhati politik, “operative Hamzah, buat kerja nak naikkan Hamzah”. Adakah mereka bertindak sendirian? Pandai-pandai sendiri tuntut Muhyiddin undur atau mereka diminta (diarah?) buat apa yang mereka buat oleh only God knows who?
Umum tahu kumpulan yang mendesak pengunduran Muhyiddin termasuk dengan mengumpul akuan bersumpah telah pun dikenakan tindakan oleh parti. Yang kena pecat ada. Yang digantung keahlian pun ada.
Hamzah menyifatkan itu semua “sekadar pertelingkahan dalaman biasa berlaku dalam mana mana parti politik”. Lalu beliau berharap “perbalahan politik dalaman mengenai kepimpinan (parti) akan segera berakhir, tidak berlarutan”. That’s it? Saya ulangi pertanyaan ketua penyelidik Ilham Centre, Yusri Ibrahim, yang saya petik untuk artikel siaran FMT 15 Oktober lalu, “adakah blok timbalan presiden akan berdiam diri dan reda Wan Saiful dikorbankan atau mereka akan mengatur gerak baharu?”
Yusri merujuk pada Wan Saiful Wan Jan yang dipecat. Saya kira pertanyaan itu boleh juga digunakan untuk bertanya nasib Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad dan rakan-rakan yang digantung keahlian. Takkan mereka semua jadi sacrificial lambs? Kena buta-buta je?
Kesianlah kalau itu penyudahnya, meskipun saya tahu dalam perang politik ada yang terkorban ada yang dikorbankan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
