Muhyiddin mahu serah jawatan presiden kepada saya, kata Hamzah

Bersatu dilanda kemelut dalaman antara kem yang menyokong Presiden Muhyiddin Yassin (kanan) dengan yang menyokong timbalannya, Hamzah Zainudin.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berhasrat menyerahkan jawatan tertinggi parti itu kepadanya apabila beliau berundur nanti.

“Umum mengetahui bahawa presiden (Muhyiddin) mahu serahkan ‘baton’ kepada saya apabila beliau bersedia,” kata timbalan presiden Bersatu itu dalam wawancara bersama BFM baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Larut itu menegaskan, persoalan mengenai bila peralihan kepimpinan itu akan berlaku terserah sepenuhnya kepada Muhyiddin, mengumpamakannya dengan acara lari berganti-ganti.

“Persoalannya adalah peralihan dan itu bergantung kepada presiden, bila beliau mahu serahkan ‘baton’ itu,” katanya.

“Bagi saya, terpulang kepadanya (Muhyiddin). Ia seperti lari berganti-ganti 4×100, mungkin saya pelari kedua dan beliau yang pertama. Saya hanya menunggu. Sebaik sahaja beliau serahkan ‘baton’, saya akan ambil dan lari.”

Beliau mengulas soalan sama ada terdapat perbincangan dengan Muhyiddin untuk beliau mengambil alih pucuk pimpinan Bersatu.

BERITA LANJUT MENYUSUL

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *