Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata kerajaan akan meneliti penyasaran subsidi membabitkan barangan asas lain seperti gula, beras dan minyak masak secara berfasa.
PETALING JAYA: Komunikasi dengan rakyat perlu dipertingkat bagi memastikan pelaksanaan rasionalisasi subsidi difahami dan diterima dengan baik susulan langkah kerajaan meneliti penyasaran subsidi barangan asas seperti gula, beras dan minyak masak secara berfasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Afzanizam Abdul Rashid, berkata tindakan itu penting bagi mengurangkan risiko salah faham terhadap usaha kerajaan menyasarkan subsidi, termasuk selepas pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) dan diesel.
Afzanizam Abdul Rashid.
“Dengan hala tuju jelas serta manfaat akan dinikmati oleh rakyat Malaysia yang layak, maka perkara ini akan membantu dalam mengelakkan ketirisan sekali gus mewujudkan penjimatan kepada kerajaan.
“Yang penting komunikasi kepada rakyat tentang langkah perlu ditingkatkan agar dapat mengurangkan risiko salah faham,” katanya kepada FMT.
Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, memaklumkan Dewan Rakyat kerajaan akan meneliti penyasaran subsidi membabitkan barangan asas lain seperti gula, beras dan minyak masak secara berfasa.
Lim berkata, penyasaran subsidi akan dilaksanakan lebih menyeluruh bagi memastikan tiada ketirisan dan menjamin kemudahan itu hanya dinikmati mereka yang benar-benar memerlukan.
Katanya, bagi memastikan barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak sampai kepada golongan sasar, kerajaan meningkatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain, khususnya melalui Op Tiris dan Kita Gempur.
Mengulas pelaksanaan BUDI95 yang berjalan lancar, Afzanizam berkata kerajaan boleh menggunakan kaedah sama terhadap penyasaran subsidi barangan asas iaitu dijalankan secara berperingkat bagi meminimumkan kesan terhadap kos sara hidup.
“Buat masa ini data kadar inflasi bagi Oktober belum diterbitkan, namun dengan harga RON95 untuk rakyat Malaysia adalah RM1.99 seliter…impak kepada inflasi dijangka minimum. Pendekatan sama mungkin diguna pakai supaya kesan terhadap kos sara hidup tidak begitu mendadak,” katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi dari Putra Business School, Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata keputusan dibuat kerajaan ketika ini tepat pada masanya kerana mampu mengurangkan pembaziran, ketirisan dan penyeludupan barangan tersebut.
“Usaha ini akan menjimatkan lagi subsidi kerajaan yang boleh digunakan untuk meningkatkan bantuan kepada mereka yang amat memerlukan,” katanya.
