‘Sudahlah’, Anwar jawab tuntutan letak jawatan berkait perjanjian dagang AS

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, pada sidang media semalam menuntut Anwar Ibrahim dan Kabinetnya bertanggungjawab atas pemeteraian perjanjian perdagangan dengan AS dan meletak jawatan.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak gesaan beliau meletak jawatan berhubung keputusan kerajaan menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS), sambil berkata beliau sudah penat dengan tuntutan sedemikian.

Sambil mempertahankan keputusan kerajaan menandatangani perjanjian itu, Anwar berkata Malaysia bukan satu-satunya negara yang berbuat demikian, malah menegaskan kuasa besar ekonomi seperti China sedang berunding dengan AS mengenai tarif timbal balas yang dikenakan ke atas republik itu.

“Ini bukan soal menyerah, soal khianat, soal gadai, soal penjajahan baru.

“Nak suruh turun sekali lagi pula? Berapa kali nak suruh turun? Sudahlah,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat.

Walaupun Anwar tidak merujuk secara khusus, ia dibuat sehari selepas bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, menuntut Anwar dan Kabinetnya meletak jawatan berhubung keputusan menandatangani ART.

Semalam, pada sidang media, Mahathir mendakwa dengan menandatangani perjanjian itu, Malaysia telah kehilangan akses pasaran lain dan membenarkan Washington campur tangan dalam sektor utama termasuk makanan, pembuatan, pertanian, telekomunikasi, pertahanan, dan perlombongan.

Beliau menyifatkan klausa keluar dalam perjanjian itu sebagai satu ‘pembohongan’ dan bahawa ‘satu-satunya klausa keluar sekarang ialah Anwar dan Jemaah Menterinya perlu ambil tanggungjawab dan meletak jawatan’.

Beliau juga mendakwa, perjanjian perdagangan berkenaan tidak menepati Perlembagaan kerana perjanjian itu dikatakanb bercanggah beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, berkaitan dengan hak orang Melayu dan Bumiputera, serta kedudukan Raja-Raja Melayu dan kerajaan negeri.

Mahathir juga mendakwa perjanjian itu secara efektif mengikat Malaysia kepada kepentingan AS, menyebabkan negara tidak dapat membuat keputusan secara bebas.

Namun, Jabatan Peguam Negara telah memberikan jaminan kedaulatan dan kepentingan nasional Malaysia kekal dilindungi sepenuhnya di bawah perjanjian tersebut.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *