Pada 13 Okt lalu, kerajaan umum peningkatan petrol bersubsidi daripada 300 liter kepada 600 liter sebulan menerusi program BUDI95 kepada pemandu e-panggilan. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR: Kerajaan meningkatkan kelayakan Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-panggilan sepenuh masa yang layak sehingga 800 liter sebulan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tambahan kuota itu susulan pandangan daripada pemandu e-panggilan yang merasakan peningkatan kepada 600 liter sebelum ini tidak mencukupi.
“Sebelum ini telah tingkatkan 300 liter kepada 600 liter yang telah memberi manfaat kepada 58,000 pemandu e-panggilan yang layak. Namun ada lagi rakan-rakan (iaitu) e-panggilan merasakan tak cukup.
“Maka saya umum kerajaan setuju meningkatkan kepada sehingga 800 liter sebulan. Maknanya 5,000 km tertakluk kepada syarat perjalanan yang ditetapkan,” katanya pada sesi waktu pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat.
Pada 13 Okt lalu, hampir 54,000 pemandu e-panggilan sepenuh masa menikmati peningkatan petrol bersubsidi daripada 300 liter kepada 600 liter sebulan menerusi program BUDI95.
Anwar turut mengumumkan teksi di lapangan terbang turut disenaraikan sebagai kenderaan layak menerima petrol RON95 bersubsidi di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi(SKPS).
Beliau berkata setakat ini, 13.1 juta rakyat telah berjaya melaksanakan transaksi BUDI95 dan telah membelanjakan RM2.6 bilion ringgit RON95 bersubsidi.
“Ini melibatkan subsidi kerajaan sekitar RM800 juta.
“Purata jumlah liter digunakan penerima BUDI95 bagi bulan Oktober adalah sebanyak 98 liter, iaitu 33% daripada kelayakan bulanan 300 liter yang ditetapkan.
“Hanya kurang 0.7% sahaja penerima BUDI95 yang menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan mereka sebelum akhir bulan Okt,” katanya.
Menerusi BUDI95, harga petrol RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter dan dinikmati semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah, dengan pengesahan menggunakan MyKad.
Warga asing serta pembeli lain yang tidak layak dikenakan harga pasaran sebanyak RM2.60 seliter.
