Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS tidak akan mencampuri urusan dalaman sekutunya namun sentiasa terbuka berbincang pelbagai isu dalam kerangka Perikatan Nasional.
PETALING JAYA: PAS tidak akan campur tangan dalam kemelut Bersatu di sebalik wujud gesaan daripada pemimpin akar umbinya supaya parti itu menjadi orang tengah untuk menyelesaikan krisis dalaman rakan komponen Perikatan Nasional (PN) terbabit.
Mengulas gesaan Ketua Bersatu Kota Melaka Hishamuddin Karim, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya menghargai hasrat pemimpin itu yang menunjukkan semua pihak mahu melihat keutuhan gabungan itu.
Bagaimanpun beliau menekankan PAS tidak akan mencampuri urusan dalaman sekutunya itu namun sentiasa terbuka berbincang pelbagai isu dalam kerangka PN.
“PAS menghormati hal setiap parti dalam mendepani permasalahan dalaman.
“Kami yakin ia mampu diselesaikan dengan semangat ukuhwah di kalangan anggota parti dan komponen,” katanya kepada FMT.
Ahad lalu, Hishamuddin berkata pendirian rasmi PAS akan membantu meredakan kekeliruan disebabkan tindakan beberapa ahli Bersatu yang didakwa menggunakan nama pemimpin PAS untuk mewajarkan tindakan mereka.
Beliau dipercayai merujuk kepada dakwaan PAS cenderung menyokong pemimpin Bersatu lain untuk memimpin PN berbanding Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mendakwa PAS lebih cenderung menyokong Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin.
Dakwanya, sokongan itu kerana kepimpinan Hamzah dalam menggerakkan jentera PN pada PRU15.
Wan Ahmad Fayhsal kini digantung selama sepenggal manakala Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dipecat.
Mereka dikenakan tindakan oleh Bersatu kerana didakwa melanggar perlembagaan dan kod etika parti.
Bulan lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin dipetik berkata parti itu tidak pernah mencalonkan mana-mana individu sebagai calon perdana menteri dari PN termasuk Hamzah yang juga ketua pembangkang.
Beliau mengulas penyebaran audio didakwa suara seorang pemimpin Bersatu, yang mendakwa pimpinan PAS termasuk Presiden Hadi Awang setuju menjadikan Hamzah calon perdana menteri.
