Malaysia puas hati jadi ‘negara rakan’ BRICS buat masa ini

Malaysia menjadi negara rakan BRICS, yang dianggotai 11 negara, bermula 1 Jan lepas. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Malaysia berpuas hati dengan status ‘negara rakan’ kepada kumpulan ekonomi BRICS setakat ini, kata Menteri Luar Mohamad Hasan di Dewan Rakyat.

BRICS dianggotai 11 negara, iaitu Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ethiopia, Indonesia dan Iran. Malaysia menjadi negara rakan BRICS bermula 1 Jan lepas.

Mohamad menjelaskan, perbezaan antara negara rakan dan ahli penuh tidak begitu ketara, kecuali tiada kuasa mengundi dalam sebarang proses membuat keputusan blok itu.

“Jadi, kita tak mahu mengeruhkan suasana sehinggalah sampai ke tahap di mana nanti membolehkan kita suasananya, mengizinkan kita untuk kita menjadi ahli penuh,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi kementeriannya.

Mohamad menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) tentang sama ada Malaysia akan ‘terikat kaki dan tangan’ jika menjadi ahli BRICS, apatah lagi selepas memeterai perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) yang pada Julai lalu memberi amaran bahawa penyertaan dalam blok itu boleh menyebabkan kenaikan tarif 100%.

Beliau turut membangkitkan hasrat BRICS untuk menyahdolarisasikan perdagangan global, yang disifatkannya bercanggah dengan kepentingan AS.

Menjelas lanjut, Mohamad berkata, minat Malaysia menyertai BRICS didorong oleh keinginan meluaskan pasaran dagangan, memandangkan negara-negara pengasas blok itu merupakan antara rakan dagang utama negara.

“Banyak baiknya daripada tak baik jika kita dapat bersama-sama berdagang dengan rakan-rakan negara ini,” katanya.

Mengulas kebimbangan Ahli Parlimen pembangkang itu berhubung perjanjian perdagangan timbal balik dengan AS, Mohamad menegaskan Malaysia perlu mengambil langkah berwaspada dalam semua urusannya agar tidak terperangkap.

“Perlu kita buat pemerhatian dan kita perlu berhati-hati … ini pandangan peribadi saya,” katanya.

Pada 2 Nov, Bernama melaporkan Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D Kagan berkata, Washington menghormati hak kedaulatan Malaysia untuk menentukan dasar luar dan ekonominya sendiri, termasuk meninjau peluang bersama BRICS.

Bagaimanapun, beliau turut menarik perhatian bahawa Presiden AS Donald Trump ‘bertegas’ mengenai ‘garis merah’ tertentu dan kemungkinan akibat jika ia dilangkaui.

Ketika diminta Wan Ahmad Fayhsal mengulas mengenai kenyataan ‘garis merah’ itu, Mohamad berkata: “(Itu) biasa lah. Cakap orang yang mempunyai kekuatan.”

“Jadi, kita pula jangan ikut rentak orang menari. Kita menari rentak kita,” tambahnya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *