Duta Libya kagum nilai kekeluargaan di Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melawat proses pembuatan perahu panjang sempena Kayuhan MAIPs Peduli di Kampung Warna-Warni Seberang Ramai.

PETALING JAYA: Duta Besar Libya ke Malaysia Mohamed AM Attia kagum dengan keindahan nilai kekeluargaan yang dirasai sepanjang lawatan kerjanya ke negeri itu.

Beliau berkata, walaupun berada di Malaysia hampir tiga tahun dan berpeluang melawat pelbagai tempat, kunjungan ke Perlis memberikan pengalaman sangat istimewa, terkesan dan berbeza.

“Apa yang kami rasakan di sini ibarat bersama satu keluarga,” katanya dalam ucapan sempena program Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam
dan Adat Istiadat Melayu Perlis di sekitar Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Kayuhan itu diketuai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Edisi kali ini turut disertai Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Zaliman Sauli, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor, Atase Akademik Kedutaan Libya di Malaysia Aiman AK Elmahmod dan Pengawal Kewangan Kedutaan Libya di Malaysia Nassar Grepay.

Sempena program itu Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs iaitu wang tunai RM700, kit MAIPs Peduli dan beras fidyah kepada tiga penerima asnaf terpilih.

Dalam pada itu, Mohamed memuji sifat rendah diri serta keperibadian mulia Tuanku Syed Faizuddin dalam mendekati, menyantuni dan berinteraksi dengan rakyat di setiap peringkat.

“Kami amat mengagumi bagaimana Tuanku berhubung dengan rakyat dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan,” katanya sebelum pulang ke ibu negara.

Dalam lawatan kerjanya, Mohamed turut menyampaikan syarahan umum sempena program Ambassador Talk Series bertajuk ‘Building Bridges Of Knowledge: Towards Strategic Partnership In Education And Innovation’ di Kompleks Dewan Kuliah UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *