Kanak-kanak 10 tahun cedera selepas dikejar anjing liar

Kanak-kanak 10 tahun cedera selepas dikejar anjing liar

MERSING: Kehadiran kumpulan anjing liar yang kerap berkeliaran semakin meresahkan penduduk dan terbaharu seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun menjadi mangsa serangan haiwan berkenaan.

Dalam kejadian Selasa lepas, Nur Huwaidah Umayrah Abdullah cedera pada bahagian muka, bahu dan lutut kiri akibat terjatuh ke dalam longkang selepas dikejar haiwan itu di sekitar Endau di sini.

Ibu mangsa, Izzaidah Ibrahim, 35, berkata kejadian kira-kira 5.25 petang itu berlaku ketika Nur Huwaidah Umayrah sedang mengayuh basikal dari kedai datuknya di Tanjung Endau menuju ke rumahnya di Jalan Dato Mohd Ali.

Izzaidah berkata setibanya di hadapan sebuah kedai kek, seekor anjing liar secara tiba-tiba mengejar Nur Huwaidah Umayrah dan anaknya yang ketakutan terus mengayuh basikal dengan laju sebelum terjatuh ke dalam longkang.

“Bagaimanapun, Umay (Nur Huwaidah Umayrah) bernasib baik kerana ada beberapa individu yang berada berhampiran lokasi kejadian membantu menghalau anjing itu, jika tidak keadaan mungkin akan menjadi lebih teruk, “ katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini hari ini.

Izzaidah berkata susulan itu, anak ketiga daripada empat beradik itu dirawat di klinik kesihatan berhampiran dan dia juga telah membuat laporan polis serta aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung insiden terbabit.

Bagaimanapun, Izzaidah berkata perkara itu bukanlah isu baharu dan tindakan pernah diambil oleh PBT dengan meletakkan sangkar di lokasi ‘hotspot’, namun haiwan itu dilepaskan semula oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

“Mereka (kanak-kanak) mahu berbasikal untuk ke sekolah dan mengaji pun sudah tidak bebas kerana bimbang menjadi ancaman dan berlaku perkara tidak diingini, malah sebelum ini rakan Umay pernah dikejar hingga terpaksa menyorok dalam longkang selepas ketakutan akibat dikejar berserta salakan kuat oleh haiwan itu.

“Justeru, saya berharap agar pihak berwajib dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan melaksanakan rondaan dan pemantauan berterusan memandangkan kehadiran kumpulan haiwan itu menyebabkan aktiviti luar rumah anak-anak serta penduduk sekitar menjadi terbatas,“ katanya.

Tinjauan Bernama mendapati lebih 10 anjing liar dilihat berkeliaran di sekitar jalan raya, kawasan padang, taman perumahan dan kuarters kerajaan yang dikhuatiri menjejaskan pemandangan serta mengancam keselamatan orang ramai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani ketika dihubungi Bernama mengesahkan telah menerima laporan berkaitan kejadian terbabit.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *