266 menara melebihi tempoh sembilan bulan yang ditetapkan untuk beroperasi – Fahmi

266 menara melebihi tempoh sembilan bulan yang ditetapkan untuk beroperasi – Fahmi

KUALA LUMPUR: Sebanyak 266 daripada 577 menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 masih belum beroperasi, dan telah melebihi tempoh sasaran sembilan bulan yang ditetapkan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ia antaranya melibatkan Syarikat YTL Communications Sdn Bhd yang didapati tidak menyiapkan 51 menara telekomunikasi diterima menerusi JENDELA.

“YTL yang paling corot, saya minta maaf saya terpaksa sebut di sini, daripada 51 menara yang telah diterima, kesemua 51 tidak siap,“ katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) mengenai status pelaksanaan projek menara telekomunikasi di bawah JENDELA dan sejauh mana tindakan telah dikenakan terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan projek di bawah pelan itu mengikut tempoh masa ditetapkan.

Selain itu CelcomDigi menerima 866 menara dan 366 daripadanya masih dalam pelaksanaan, Maxis (134 menara, 96 dalam pelaksanaan), UMobile (143 menara, 19 dalam pelaksanaan), REDTone (191 menara, 45 dalam pelaksanaan).

Fahmi berkata pihak kontraktor berdepan tindakan tegas sekiranya menara telekomunikasi lewat disiapkan.

Beliau berkata antara penalti yang boleh dikenakan di bawah Notis Pemberitahuan Penamaan kepada pihak pembina menara atas kegagalan menyiapkan menara dalam tempoh ditetapkan adalah liquidated damages, mengambil Performance Bond, penolakan tuntutan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehingga 31 Okt tahun ini, Fahmi berkata 1,385 daripada 1,661 menara telah siap dan daripada jumlah menara yang siap, hanya 808 menara telah beroperasi.

Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diminta untuk meneliti mana-mana menara telekomunikasi yang menghadapi kelewatan untuk disiapkan.

“Pada masa ini tindakan yang sedang dipertimbang adalah untuk mengenakan liquidated damages kepada pihak yang terlibat.

“MCMC sedang mendapatkan maklumat dan bukti-bukti ketidakpatuhan bagi membolehkan tindakan diambil ke atas kontraktor yang gagal menyiapkan menara dalam tempoh ditetapkan,“ katanya.

Sementara itu bagi menangani isu capaian internet di kawasan bandar dan luar bandar, Fahmi berkata kerajaan melalui MCMC telah menetapkan sasaran untuk menyediakan 100 peratus liputan internet di kawasan berpenduduk menjelang 2025 di bawah JENDELA.

Beliau berkata kerajaan melalui MCMC juga akan menyediakan infrastruktur serta perkhidmatan komunikasi asas melalui Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP Fund) bagi kawasan luar bandar dan pedalaman.

Bagi pencapaian di bawah JENDELA, beliau berkata 8.88 juta premis telah tersedia dengan capaian gentian optik, dan kelajuan jalur lebar mudah alih median adalah 105.75 Mbps, serta kadar liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk sebanyak 98.38 peratus, sehingga 31 Okt tahun ini.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *