Peniaga sayur warga emas rugi RM274,000 terpedaya sindiket penipuan

Peniaga sayur warga emas rugi RM274,000 terpedaya sindiket penipuan

KUANTAN: Seorang wanita warga emas kerugian sebanyak RM274,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai insurans dan pegawai polis.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa, 68, yang bekerja sebagai peniaga sayur menerima panggilan daripada suspek pada 28 Sept lepas, memaklumkan terdapat tuntutan insurans atas namanya.

Panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada seorang suspek yang mengaku sebagai ‘pegawai polis’ dan mendakwa mangsa terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram dan meminta maklumat akaun bank wanita tersebut untuk siasatan.

“Setiap kali mangsa menyuarakan kekeliruan, panggilan tersebut akan disambungkan kepada “pegawai” lain, termasuk seorang yang menyamar sebagai Timbalan Pendakwa Raya, yang turut mendakwa, satu waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa diminta memindahkan wang simpanan dari Tabung Haji dan ASB ke satu akaun bank miliknya untuk “siasatan kewangan” bagi menangguhkan waran tersebut.

Pada 1 Okt, mangsa menerima panggilan lagi dari suspek yang meminta dia menukar kad bank serta mendaftar nombor telefon baharu, selain memaksa mangsa memindahkan RM237,000 ke akaunnya yang mempunyai RM8,000 dan memasukkan RM29,000 ke akaun pihak ketiga, sebagai bayaran ikat jamin.

“Tanpa disedari, kesemua wang dalam akaunnya telah lesap dengan semakan menunjukkan 32 transaksi ke 14 akaun berbeza antara 2 hingga 10 Okt,” katanya.

Yahaya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai panggilan telefon mencurigakan, terutamanya yang melibatkan arahan pemindahan wang atau pengesahan maklumat peribadi oleh individu tidak dikenali.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *