Tindakan KPWKM terhadap isu ‘Abang Bas’, GISB berlandaskan undang-undang – Nancy

Tindakan KPWKM terhadap isu ‘Abang Bas’, GISB berlandaskan undang-undang – Nancy

BINTULU: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan segala tindakan serta maklum balas kementeriannya membabitkan isu ‘Abang Bas’ dan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) adalah mengikut lunas undang-undang.

Beliau berkata pihaknya bersedia sekiranya ada pihak yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Kepada yang nak mengambil tindakan terhadap kami itu terpulang, sekurang-kurang rakyat tahu kita sudah mengambil tindakan untuk menjalankan tugas kita menjaga kanak-kanak di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

“Ramai yang bertanya kenapa sibuk dengan isu ‘Abang Bas’ tetapi tutup telinga soal isu GISBH…dalam hal ini GISBH adalah (di bawah) kuasa polis kerana kami bukan agensi utama yang menangkap dan menyiasat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dan Penyerahan Tajaan Yayasan Kebajikan Negara dan Bintulu Port Holdings Berhad di lobi Hospital Bintulu di sini hari ini.

Menteri itu berkata demikian sebagai mengulas reaksi beberapa pihak yang mempersoal kenyataan serta tindakannya yang dianggap berat sebelah mengenai isu ‘Abang Bas’ dan GISB.

“Jadi GISB berbeza daripada ‘Abang Bas’ kerana kita nak pastikan kanak-kanak (dalam hantaran media sosial TikTok) itu dilindungi dan saya tahu banyak badan bukan kerajaan nak tolong kita tapi kita cakap tunggu dulu sebab ini bukan kes biasa,” katanya.

Pada 5 Sept lepas, seorang pengguna media sosial X berkongsi tangkap layar hantaran TikTok milik seorang pemandu bas sekolah atau ‘Abang Bas’ yang merujuk seorang murid perempuan sebagai “crush” dan “kesayangan”.

Susulan itu, Nancy mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis terhadap pemandu bas berkenaan.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *