KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh bekerjasama dengan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) bagi kajian semula perundangan berkaitan e-dagang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata hasrat untuk mendapatkan perkhidmatan badan dunia yang memiliki pengalaman dan kepakaran itu telah dikemukakan dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung UNCTAD Rebeca Grynspan di Geneva, Switzerland hari ini.
Pertemuan berkenaan turut dihadiri Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Nadzirah Osman.
“Dalam pertemuan ini, UNCTAD telah memberikan persetujuan secara prinsip. UNCTAD juga menyatakan bahawa usaha ini sejajar dengan dengan fokus badan dunia itu untuk membantu negara membangun bagi mendapat manfaat melalui pengintegrasian kepada sistem perdagangan antarabangsa, meningkatkan akses kepada teknologi digital dan sekali gus melindungi pengguna daripada eksploitasi.
“KPDN berharap melalui kerjasama dengan UNCTAD ini akan dapat membantu usaha kementerian untuk melaksanakan kajian perundangan baru e-dagang dengan lebih berkesan melalui perkongsian kepakaran dan amalan terbaik di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
UNCTAD adalah badan tetap antara kerajaan ditubuhkan di bawah PBB yang bertanggungjawab bagi menggalakkan perdagangan serta pembangunan di negara-negara membangun.
Badan dunia itu memainkan peranan untuk menyokong negara membangun melalui perkongsian kepakaran, bantuan teknikal, kajian analisis dan pembangunan kapasiti.
“Sebagai sebuah negara ahli, Malaysia telah menjalinkan kerjasama dan memanfaatkan perkhidmatan dan bantuan yang ditawarkan oleh UNCTAD sejak sekian lama.
“Di peringkat KPDN, jalinan kerjasama dan penglibatan sedia ada dengan UNCTAD adalah melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam aspek penggubalan dan penguatkuasaan polisi dan perundangan berkaitan persaingan,” katanya.
Sementara itu, Armizan berkata KPDN sedang melaksanakan kajian semula perundangan e-dagang bagi mengemas kini perundangan sedia ada selaras dengan perkembangan pesat industri e-dagang.