KSU Kementerian Komunikasi rakam ucapan takziah atas pemergian Zaini Yuhyi

KSU Kementerian Komunikasi rakam ucapan takziah atas pemergian Zaini Yuhyi

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa hari ini, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas penyampai berita RTM dan Bernama TV Zaini Yuhyi yang meninggal dunia malam tadi.

Beliau yang mewakili warga kementerian, menyampaikan ucapan takziah tersebut melalui hantaran di laman Facebook.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Semoga roh Allahyarham Encik Zaini Yuhyi, bekas penyampai berita TV RTM dan BERNAMA dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama-sama golongan yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

Allahyarham yang berusia 58 tahun meninggal dunia pada 8 malam tadi di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Adiknya Zuhri, memaklumkan Allahyarham baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran pada Sabtu lepas sebelum dimasukkan ke hospital itu hari berikutnya.

“Allahyarham meninggal dunia akibat aorta rupture. Beliau meninggalkan seorang balu dan empat anak,“ katanya.

Pengurusan jenazah dilaksanakan di Masjid Kota Damansara selepas solat zuhur hari ini, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara, Selangor.

Allahyarham yang merupakan anak sulung pelakon filem era 1970-an, Allahyarham Norma Yuzie pernah menjadi pengacara di RTM dan Bernama TV. Beliau mengendalikan program “Ruang Bicara” dari 2017 hingga 2018 serta “The Nation” dari 2017 hingga 2021.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *