Pertumbuhan ekonomi suku kedua atasi jangkaan, cerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi negara

Pertumbuhan ekonomi suku kedua atasi jangkaan, cerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi negara

JOHOR BAHRU: Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua yang mencatatkan 5.9 peratus dan mengatasi jangkaan itu, mencerminkan keyakinan pelabur luar terhadap potensi negara, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata ini sekali gus menunjukkan dasar dan naratif pertumbuhan ekonomi yang diperkenalkan di seluruh dunia selama ini diterima baik.

Justeru, katanya kerajaan perlu meneruskan momentum pertumbuhan tersebut dengan mempergiatkan lagi usaha menarik pelabur seterusnya mengekalkan keyakinan dan pandangan positif antarabangsa kepada pasaran Malaysia.

“Oleh itu, cabarannya sekarang dan yang diberi tumpuan oleh kerajaan ialah memastikan bukan sahaja naratif dan dasar itu menarik untuk pelaburan dan pertumbuhan tetapi juga menterjemahkan (pelaburan) itu dengan segera serta menyediakan semua yang diperlukan. Itu perlu dibuat dengan segera dan teratur.

“(Kemudian) barulah momentum (pertumbuhan) itu dapat diteruskan. Jika ini berlaku, kita akan terus dilihat sebagai destinasi pelaburan yang baik di rantau ini dan di dunia,” katanya kepada pemberita selepas sesi ‘Ask Minister Anything bersama Menteri Ekonomi’ sempena Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran UTM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pengumuman kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua yang melebihi unjuran awal 5.8 peratus semalam.

Sebagai antara strategi untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi yang positif, Rafizi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan Kerangka Memudah Cara Perniagaan, yang turut menyentuh mengenai kecekapan khidmat kerajaan dalam memudahkan perniagaan.

Beliau berkata kementeriannya mengambil masa setahun untuk menyiapkan kerangka tersebut yang kini berada di peringkat akhir.

Anwar dijangka melancarkan kerangka itu pada 4 Oktober ini.

Terdahulu, pada sesi ‘Ask Minister Anything bersama Menteri Ekonomi’, Rafizi berkata Malaysia bakal diiktiraf sebagai negara kuasa ekonomi tengah sekiranya hasrat untuk menyertai blok ekonomi organisasi antara kerajaan iaitu BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) diterima.

Katanya ini memandangkan BRICS terdiri daripada kumpulan negara yang juga dikenali sebagai kuasa ekonomi tengah ternama.

“Saya percaya jika Malaysia diterima masuk BRICS, ia tidak akan menjejaskan hubungan antarabangsa kita dengan negara lain. Ini kerana Malaysia dikenali sebagai negara yang mengamalkan prinsip neutral ketika berurusan dengan isu-isu global.

“Apabila diterima, insya-Allah itu satu pengiktirafan dan keyakinan mereka terhadap Malaysia bahawa kita juga negara dengan kuasa ekonomi tengah di dunia. Ini akan meningkatkan keupayaan ekonomi kita.

“Jangan keliru. Kita mahu menyertainya bukan disebabkan politik sebaliknya kerana mahu menjalin hubungan baik dengan semua negara termasuk negara-negara kuasa ekonomi tengah antaranya Rusia, Brazil, India, China dan lain-lain,” katanya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *