PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa penjawat awam melakukan anjakan, memacu pertumbuhan negara dengan kerajaan terus fokus melaksanakan usaha memperkasa kebajikan warga perkhidmatan awam.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata setiap penjawat awam perlu mengekalkan amalan dan tatakelola baik serta membuang amalan buruk yang akan menjejaskan perkhidmatan awam dan negara.
“Jika prestasi penjawat awam bertambah baik tentunya saya beri pengiktirafan. Ini tanggungjawab saya sebagai bapa dan sebagai seorang bapa, saya gesa anak lebih kuat disiplin, belajar dan kuat kerja.
“Saya nak keputusan baik, bagi sokongan kuat kepada bapa supaya buat kerja dengan lebih baik,” katanya ketika berucap pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) di sini hari ini.
Anwar berkata ketika ini Kerajaan Perpaduan pimpinannya telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menjaga kebajikan penjawat awam, merangkumi kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember ini.
