SPRM nafi ganggu 2 peguam

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, siasatan agensinya ke atas peguam Lai Chee Hoe (tengah) dan Irwin Lo tiada kaitan ‘hak awam untuk mendapatkan perwakilan undang-undang’.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan dua peguam bahawa mereka diganggu ketika mewakili anak guam.

Lai Chee Hoe dan Irwin Lo dalam sidang media berkata, mereka disiasat atas kapasiti sebagai peguam jawatankuasa pengurusan bangunan dalam kes pengurusan strata.

Lai berkata, dia direman SPRM selama tiga hari bermula 6 Jun lalu.

Dia mendakwa pegawai penyiasat SPRM memaklumkan mereka sedang menjalankan siasatan ke atas ahli jawatankuasa pengurusan itu dan dia ditahan kerana mewakili jawatankuasa terbabit dalam saman sivilnya.

Lo berkata, SPRM mengambil kenyataannya pada 5 Jun lalu dan memintanya menyediakan beberapa dokumen berkaitan kes dikendalikannya bersama Lai.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dua peguam terbabit yang dikatakannya memfitnah agensi antirasuah itu dalam sidang media.

Menurutnya, siasatan mereka ke atas akaun pengurusan dan penyelenggaraan yang diselenggara jawatankuasa itu serta tiada kaitan kapasiti dua peguam terbabit bagi mana-mana anak guam.

“Ini bukan isu SPRM mengganggu hak orang awam untuk mendapatkan perwakilan undang-undang.”

Azam mengesahkan Lai ditahan dan direman sebagai sebahagian siasatan kes itu, manakala keterangan Lo diambil untuk membantu siasatan.

Pada sidang media anjuran Lawyers for Liberty (LFL), Lai mendakwa SPRM mengenakan tiga syarat terhadap pembebasannya daripada reman.

Dia mendakwa diminta menarik diri daripada mewakili jawatankuasa pengurusan itu dan pegawai SPRM memberitahunya supaya tidak menghadiri mesyuarat agung tahunan pangsapuri perkhidmatan itu serta tidak menganjurkan sidang media untuk menjelaskan dakwaannya.

Penasihat LFL, Zaid Malek berkata, SPRM tiada kuasa menuntut peguam menyediakan dokumen kes yang dikendalikan mereka.

“Peguam perlu bebas menasihati anak guam dan orang ramai harus yakin mereka boleh mendapatkan peguam untuk mewakili mereka tanpa rasa takut atau gentar.”

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *