Putrajaya patut cadang lanjutan umur hakim, bekas hakim

Umur persaraan wajib hakim pada usia 66, yang mana boleh dilanjut kepada enam bulan lagi tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu memulakan sebarang cadangan melanjutkan umur persaraan hakim jika serius mengikuti mekanisme Komanwel dan negara tetangga, kata seorang hakim bersara.

Katanya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri sepatutnya merangka kertas kerja dan mendapatkan maklum balas daripada semua pemegang taruh – tiga badan berkait peguam, Pejabat Peguam Negara, kehakiman dan perbendaharaan.

“Perbincangan berkait melanjutkan umur persaraan telah berjalan, namun tiada yang konkrit setakat ini,” kata hakim bersara itu yang enggan dinamakan.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dalam catitan Facebook, minggu lalu, menyatakan umur persaraan hakim dilanjutkan sekurang-kurangnya 75 tahun, sambil menambah ‘profesion itu tidak patut bersara pada usia 60 atau 65 tahun’.

Umur persaraan wajib adalah 66, namun hakim terutama di Mahkamah Persekutuan boleh diberikan lanjutan enam bulan tertakluk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Kata bekas hakim itu, pentadbiran semasa dalam kehakiman berkemungkinan keberatan merangka cadangan sendiri bagi mengelak dakwaan sebagai penerima manfaat terdekat.

Katanya, hakim di negara jiran seperti Singapura, Filipina, dan Indonesia bersara pada usia 70 hingga 75 tahun.

Bekas menteri undang-undang, Rais Yatim pernah mencadangkan lanjutan umur persaraan hakim pada 2016, sambil menyifatkan hakim juga mempunyai ketahanan.

Rais, yang juga peguam berkata, Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri menerajui negara sehingga usia lebih 70 tahun.

Peguam Syed Iskandar Syed Mahzar, menggesa Putrajaya mengetengahkan cadangan tersebut di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, memandangkan sokongan dua pertiga diperlukan bagi pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Jika kekangan perundangan tiada, kerajaan boleh memutuskan tarikh kuat kuasa lanjutan umur baharu,” katanya.

Lapan daripada 15 hakim Mahkamah Persekutuan, termasuk Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, dijadual bersara antara Januari hingga Ogos tahun depan.

Syed Iskandar berkata, kesan kewangan terhadap belanja kerajaan juga minimum mengambil kira ia hanya melibatkan 150 hakim di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, peguam Naran Singh berkata lanjutan umur bersara boleh diberikan kepada hakim berkhidmat di Mahkamah Persekutuan sahaja.

“Hanya hakim bergeliga yang menulis penghakiman berkualiti patut dikekalkan berkhidmat bagi tempoh beberapa tahun lagi,” katanya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *