Suhakam pantau situasi Bajau Laut di Sabah

Suhakam menggesa bantuan segera diberikan kepada komuniti Bajau Laut yang terjejas di Sabah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata ia sedang memantau dengan rapi tindakan terbaru kerajaan Sabah terhadap komuniti Bajau Laut di Semporna baru-baru ini.

“Walaupun mengiktiraf niat kerajaan negeri untuk meningkatkan keselamatan, kami menekankan kepentingan pendekatan seimbang bagi menangani keperluan segera mereka yang terjejas akibat operasi tersebut.

“Notis awal diberikan kepada komuniti yang terjejas, namun terdapat keperluan untuk menilai kesan kemanusiaan yang lebih luas daripada tindakan ini,” kata Suhakam dalam satu kenyataan.

Suhakam berkata Bajau Laut merupakan komuniti yang unik dan secara sejarahnya terpinggir, menghadapi cabaran besar termasuk akses terhad kepada perkhidmatan asas seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.

“Kami ingin bantuan segera diberikan kepada komuniti Bajau Laut yang kehilangan tempat tinggal, termasuk menyediakan tempat tinggal sementara, penjagaan kesihatan dan sumber pendidikan untuk meminimumkan gangguan dalam kehidupan mereka.”

Suhakam berkata perlu ada dialog antara kerajaan negeri, komuniti Bajau Laut dan organisasi kemanusiaan untuk mencari penyelesaian jangka panjang.

Operasi penguatkuasaan itu menyasarkan penduduk Bajau Laut yang tinggal di tujuh pulau di Semporna. Rumah-rumah sementara mereka telah dirobohkan sepanjang beberapa hari minggu lepas.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *