Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan menyambut baik langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengambil tindakan kepada pemilik PPR yang menyewakan rumah mereka.
PETALING JAYA: Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan berkata majikan menjadi punca penduduk menyewakan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) mereka kepada warga asing.
Pengerusinya Prakash P Kalivanan berkata majikan gagal menyediakan penginapan atau asrama kepada pekerja asing mereka dan sanggup membayar tinggi untuk menyewa unit PPR.
“Baru-baru ini kita mengadakan perbincangan dengan beberapa penghuni PPR dan mendapati Pangsapuri Teratak Muhibbah, Taman Desa di ibu kota – 60% yang menetap di kawasan itu adalah warga asing.
“Mereka membayar sewa rumah RM600 sebulan dihuni oleh lima hingga lapan orang serumah,” katanya lapor Bernama.
Prakash berkata rumah PPR adalah untuk warga tempatan yang tidak berkemampuan untuk membeli atau menyewa rumah.
“Tetapi disebabkan majikan tidak menyediakan asrama atau tempat tinggal kepada pekerja warga asing, mereka terpaksa menyewa rumah PPR dengan membayar kadar sewa tinggi.”
Beliau berkata warga asing dilihat ‘bermaharajalela’ di negara ini dengan menetap di rumah PPR sedangkan warga tempatan menunggu giliran terlalu lama bagi mendapatkan rumah PPR.
Kata Prakash berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pernah mencadangkan agar Akta Sewaan Kediaman digubal bagi mengawal selia aktiviti sewaan kediaman, namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan mengenainya.
Beliau juga mencadangkan tindakan tegas perlu diambil terhadap pemilik yang menyewakan kediaman PPR mereka kerana setakat ini tiada pemilik mahupun penyewa dituduh di mahkamah berhubung kesalahan itu.
“Kita sering kali mendengar pihak berkuasa mahu membatalkan perjanjian asal yang dimeterai antara penyewa asal dengan kerajaan, tetapi kita tidak tahu setakat ini berapa banyak perjanjian yang telah dibatalkan,” katanya.
Prakash yang menyambut baik hasrat Menteri KPKT, Nga Kor Ming untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemilik rumah PPR yang menyewakan kediaman mereka kepada warga asing dan berkata, tindakan undang-undang yang akan dikenakan itu perlu menjadi pengajaran kepada yang lain.
Nga berkata kos pembinaan seunit rumah projek PPR mencecah hampir RM300,000 tetapi pembeli hanya perlu membayar RM45,000 sahaja.
Katanya, pemohon ditawarkan unit ini selepas mendakwa tidak mempunyai rumah tetapi sebahagian mereka segera menyewakan kediaman itu untuk mendapatkan keuntungan.