Wanita hamil di Gaza hadapi peningkatan kes keguguran akibat tekanan, kekurangan makanan – Laporan

Wanita hamil di Gaza hadapi peningkatan kes keguguran akibat tekanan, kekurangan makanan – Laporan

KUALA LUMPUR: Keguguran semakin meningkat dalam kalangan wanita hamil di Gaza disebabkan oleh tekanan dan kekurangan makanan, kata ActionAid International.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa itu, doktor di satu-satunya wad bersalin yang masih berfungsi di Gaza mendedahkan bahawa mereka melihat peningkatan kes keguguran.

Ia menyebut bahawa kakitangan di Hospital Al-Awda di Nuseirat, berkata wanita hamil semakin kerap datang ke hospital kerana pendarahan yang banyak dan komplikasi lain.

“Kekurangan makanan dan tekanan akibat bahaya serta perpindahan secara paksa yang berterusan memberi kesan besar kepada wanita hamil,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Obstetrik dan Ginekologi hospital tersebut, Dr. Raed Al Saudi, berkata mereka kini menyambut kelahiran antara 40 hingga 50 bayi setiap hari, walaupun hanya mempunyai 35 katil.

“Keguguran boleh berlaku atas beberapa sebab. Antaranya adalah keletihan wanita hamil akibat perpindahan secara paksa… Malnutrisi adalah antara punca utama.

Sementara itu, Ketua Jabatan ‘Inpatient and Maternity’ Hospital Al-Awda, Dr Yasmine berkata, kakitangan perubatan melihat banyak kes wanita kehilangan bayi mereka yang belum lahir.

“Ada kalanya terdapat kes pendarahan dan kelahiran pramatang atau keguguran. Ada kemungkinan kes pendarahan selepas bersalin adalah akibat kekurangan sat makanan atau kes anemia.

“Pengeboman menyebabkan penduduk terpaksa berpindah dari rumah ke rumah untuk mengelakkan pengeboman dan kematian. Dengan faktor-faktor ini, mungkin wanita boleh mengalami pendarahan langsung atau mengalami tekanan darah tinggi. Ini boleh menyebabkan pemisahan sepenuhnya janin [Abruption plasenta] dan keguguran. Kami berurusan dengan banyak kes dalam situasi ini.

“Terdapat ramai wanita yang kehilangan (bayi dalam kandungan) akibat pendedahan langsung kepada pengeboman. Seorang wanita hamil dan mengalami kecederaan. Pada hari kedua atau pada hari yang sama, dia mengalami pendarahan. Dia dibawa ke Jabatan Pembedahan. Perkara ini banyak berlaku di sini,” katanya.

Dr Yasmine berkata kekurangan makanan yang mencukupi – 95 peratus wanita hamil dan menyusu di Gaza menghadapi ‘kemiskinan makanan’ yang teruk.

“Kebanyakan kanak-kanak (dilahirkan) dengan berat badan lahir rendah. Kami merujuk ramai kanak-kanak ke Hospital Al-Aqsa Martyrs kerana mereka mengalami kekurangan oksigen atau kesukaran bernafas atau keradangan akibat kekurangan kebersihan atau penyebaran penyakit.

“Pada masa yang sama, wanita itu disebabkan kekurangan zat makanan mengalami anemia. Jadi, dia tidak boleh bersalin atau menanggung tekanan bersalin, kerana dia letih dan lemah,” katanya.

Sementara itu, Penyelarasan Advokasi dan Komunikasi di ActionAid Palestine, Riham Jafari, berkata wanita hamil di Gaza bukan sahaja mengalami tekanan dan trauma yang berterusan kerana hidup dalam zon perang, tetapi mereka juga hampir tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan.

“Sungguh menyayat hati tetapi tidak mengejutkan bahawa bilangan kes keguguran semakin meningkat, memandangkan keadaan mengerikan yang terpaksa ditanggung oleh wanita hamil di Gaza.

“Apa yang mereka, dan semua orang lain di Gaza, perlukan dengan segera adalah gencatan senjata secara kekal dan segera,” katanya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *