Tiada lagi ‘politik kayu balak’ di Sarawak, kata Abang Jo

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata, pendapatan negeri itu dahulu bergantung kepada kayu balak, mewujudkan ‘politik kayu balak’. (Gambar Bernama)

SERIAN: Sarawak yang dahulunya bergantung kepada hasil eksport kayu balak sebagai sumber pendapatan sehingga mewujudkan ‘politik kayu balak’ kini sudah melangkah ke satu era baharu yang mengutamakan usaha restorasi kawasan hutan.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata, Sarawak kini sudah memasuki era restorasi hutan sebagai penjana pendapatan baharu, khususnya dalam perdagangan karbon dunia.

“Pendapatan kita dulu bergantung kepada kayu balak, sebab itu politik dahulu politik kayu balak. Sekarang kita ubah, kita tidak bergantung kepada kayu (balak),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2024 peringkat Sarawak di Pusat Agroperhutanan Sabal hari ini.

Abang Johari Openg.

Menurutnya, kerajaan Sarawak juga berjaya mengurangkan kadar pembalakan sebanyak kira-kira dua juta meter padu setahun hasil dasarnya untuk mematuhi keperluan pensijilan pengurusan hutan bagi kedua-dua hutan asli dan hutan ladang.

“Saya mahu (pemain) industri tahu mengapa kita kurangkan eksport kayu balak, mengapa kita tidak galakkan penebangan pokok balak, kerana sekarang kita mempunyai alternatif untuk (bangunkan) ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata, dasar Sarawak sekarang turut membolehkannya mengekalkan kira-kira 62% kawasan hutan.

Menurutnya, Sarawak kini mempunyai 26 Unit Pengurusan Hutan yang telah dipersijilkan, merangkumi keluasan 2.38 juta hektar dan tujuh Unit Pengurusan Ladang Hutan meliputi keluasan 97,966 hektar.

Dalam pada itu, Abang Johari menyatakan penghargaannya kepada Jabatan Hutan Sarawak kerana cemerlang bukan sahaja dalam usaha konservasi hutan tetapi dalam menambah nilai dan pendekatan baharu bagi mengimbangi pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Hamden Mohamad untuk membangunkan Pusat Agroperhutanan Sabal sebagai pusat pelbagai guna, khususnya bagi tujuan penyelidikan hutan, aktiviti rekreasi dan pelancongan.

Menurutnya, pembangunan pusat yang dianggarkan menelan kos RM50 juta itu mampu menjadi antara destinasi tarikan di Serian apabila ia siap kelak.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *