Penunggang maut langgar kerbau lintas jalan

Siasatan mendapati ketika mangsa dari arah Bukit Goh menghala ke Bukit Sagu, seekor kerbau tiba-tiba melintas jalan mengakibatkan motosikal dinaiki mereka melanggar haiwan itu.

KUANTAN: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas motosikal ditunggang mereka melanggar seekor kerbau melintas jalan berhampiran sebuah ladang di Felda Bukit Sagu, pagi ini.

Ketua Polis Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata dalam kejadian sekitar 4.30 pagi, Muhammad Tangtawi Mohamad Ali, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Beliau berkata, seorang lagi penunggang motosikal berusia 20 tahun mengalami kecederaan pada bahagian muka dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati ketika mangsa dari arah Bukit Goh menghala ke Bukit Sagu, seekor kerbau tiba-tiba melintas jalan mengakibatkan kedua-dua lelaki berkenaan hilang kawalan dan melanggar haiwan itu,” katanya dalam kenyataan.

Wan Zahari berkata, pihaknya sedang mengesan saksi untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *