MPT Bersatu umum Muhyiddin kekal presiden, pemilihan Oktober

Perhimpunan agung tahunan Bersatu ditetapkan berlangsung 30 Nov hingga 1 Dis, manakala pemilihan pada Oktober. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Majlis pimpinan tertinggi Bersatu memutuskan Muhyiddin Yassin kekal sebagai presiden, menuju pemilihan pada hujung tahun.

Ia bagi memenuhi ketetapan perhimpunan agung tahunan khas pada November tahun lepas yang diputuskan sebulat suara, menurut Setiausaha Agung Hamzah Zainudin.

Bagi jawatan lain – di sebalik gesaan agar syarat bertanding jawatan tertinggi dilonggarkan bagi membolehkan lebih ramai individu berkelayakan mencalonkan diri – Hamzah mengumumkan calon yang berhasrat perlu memohon kepada MPT.

Ketetapan ini “selari dengan Fasal 14.14 dan 14.16 Perlembagaan Bersatu,” menurut kenyataan.

Pemilihan pemimpin akan diadakan pada Oktober, katanya lagi.

Mengikut peraturan semasa, hanya ahli yang memegang jawatan ketua bahagian atau MPT selama lengkap dua penggal berhak bertanding lima jawatan tertinggi.

Fasal 14.14 membolehkan MPT memberi kelonggaran kepada mana-mana calon yang ingin bertanding jawatan tertinggi.

Sebelum ini, Wan Saiful Wan Jan yang juga ahli MPT berkata Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu satu-satunya individu layak bertanding lima jawatan tertinggi jika parti tidak memberi kelonggaran.

Sementara itu, Hamzah mengumumkan perhimpunan agung tahunan Bersatu ditetapkan berlangsung 30 Nov hingga 1 Dis; manakala sayap-sayap akan bersidang pada 29 Nov.

Mesyuarat peringkat cawangan pula akan bermula 20 Jul hingga 31 Ogos, diikuti mesyuarat bahagian pada 12 hingga 26 Okt.

MPT juga bersetuju melantik ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin sebagai ketua bahagian penaja Putrajaya dan Abdullah Omar Beldram sebagai ketua bahagian penaja Labuan.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *