Keterangan bercanggah punca reman ibu bapa Zayn Rayyan dilanjut

Zayn Rayyan Abdul Matiin dilaporkan hilang pada 5 Dis lalu di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai berdekatan rumahnya. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis mendapati ada percanggahan keterangan daripada saksi dengan ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, menjurus reman terhadap dua individu itu dilanjutkan.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata pihaknya berusaha melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya.

“Kes masih dalam siasatan. Sebab perlu enam hari lagi reman kerana ada perkara perlu siasatan lanjut, ada yang bercanggah dan perlu kita betulkan sampai kita puas hati.

“Bukan hanya dari mereka (ibu bapa) tetapi dari saksi lain,” katanya menurut Berita Harian.

Hussein menjelaskan, ‘ada beberapa perkara’ perlu disemak semula kerana fakta tidak selari serta konsisten.

“Ada perkara yang perlu disemak semula kerana ada perkara yang tidak selari serta konsisten daripada keterangan saksi dan sebagainya menjurus kepada tangkapan ibu bapa Zayn Rayyan,” katanya.

Tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan disambung enam hari bermula semalam dengan kedua-duanya disiasat bagi membantu pembunuhan mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 5 Dis lalu di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200m dari blok rumahnya di Apartment Idaman, pada keesokannya.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya. Hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan badan akibat mempertahankan diri.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *