
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bergambar bersama penduduk ketika makan tengah hari di Restoran Ummi Aishah, Pusat Perdagangan Warisan Sentral, Kota Warisan. (Gambar Bernama)
SEPANG: Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan calon bertanding di PRK Sungai Bakap minggu depan, kata Anwar Ibrahim.
Pengerusi PH berkata, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli akan memilih tarikh sesuai untuk membuat pengumuman itu
“Senarai calon yang layak ramai dah, insya-Allah kita umum minggu depan. Tetapi selalu proses, kita bincang dengan pimpinan PH dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan,” kata perdana menteri ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA.
Pada 3 Jun lalu, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata pihaknya akan menamakan calon daripada PKR untuk mewakili kerajaan perpaduan di PRK Sungai Bakap.
Beliau yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, semua parti bawah kerajaan perpaduan bersatu hati memberi laluan kepada PKR berikutan kerusi itu pernah ditandingi calon parti berkenaan dalam PRN sebelum ini.
SPR menetapkan 6 Julai sebagai hari mengundi PRK Sungai Bakap, manakala penamaan calon akan berlangsung 22 Jun dengan undi awal pada 2 Julai.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya daripada PAS, Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Beliau yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose, selepas meraih 15,433 undi pada PRN Ogos lalu.