
Setakat ini ada 61 parti telah mendaftarkan simbolnya untuk bertanding pada pilihan raya.
PETALING JAYA: Sebuah parti politik yang mendakwa mewakili semua kaum dan dinaungi golongan profesional muda akan dilancarkan dalam satu majlis di Shah Alam, Isnin ini.
Sumber parti itu berkata pihaknya mempertaruhkan muka-muka baharu dalam landskap politik tanah air bagi menawarkan ‘suara lebih segar’ kepada rakyat demi masa depan lebih baik.
“Parti akan dipimpin pelbagai latar individu dan kaum, yang juga anak muda progresif selari dengan aspirasi negara memperjuangkan kepelbagaian budaya,” kata sumber itu kepada FMT.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan struktur pimpinan parti itu yang akan diumumkan pada majlis pelancarannya.
Semakan di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati sehingga 2022, sebanyak 61 parti telah mendaftarkan simbolnya untuk digunakan bagi bertanding pada pilihan raya.
Semua parti juga perlu diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara ketika mengulas perkembangan baharu politik tanah air itu berkata parti terbabit dijangka berdepan laluan sukar menempatkan dirinya walaupun membawa naratif mewakili semua kaum.
“Susah kalau bersendirian, PKR contohnya yang mewakili semua kaum terpaksa bergabung dengan DAP dan Amanah baru boleh berjaya…senario politik Malaysia memang kena ada parti induk lebih besar.
“Kalau parti kecil baharu ditubuhkan dan diaktifkan susah hendak beri kesan, kena gabung dengan induk lebih besar,” katanya.