Kementerian Kewangan memaklumkan RM200 akan disalurkan ke akaun bank penerima Isnin depan, manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut bantuan tunai itu di cawangan Bank Simpanan Nasional Semenanjung.
KUALA LUMPUR: Lebih 30,000 pemohon individu, petani dan pekebun kecil komoditi diluluskan untuk menerima bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif Budi Madani setakat hari ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan penerima akan disalurkan bantuan tunai pertama RM200 pada 10 Jun ini melalui akaun bank penerima, manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut Budi Madani secara tunai dengan membawa MyKad di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.
“Pemohon berkelayakan masih boleh mendaftar untuk menerima Budi Madani. Permohonan dibuat dalam Jun 2024 layak menerima bayaran untuk bulan tersebut dan bulan seterusnya.
“Permohonan yang dibuat selepas Jun 2024 hanya layak menerima bayaran bermula Julai 2024 dan tidak akan mendapat bayaran untuk Jun 2024,” menurut kenyataan itu.
Budi Madani ialah usaha kerajaan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan layak, meliputi bantuan individu (Budi Individu), petani serta pekebun kecil (Budi Agri-Komoditi) serta syarikat dan kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).
Pada masa sama, MOF memaklumkan berdasarkan data permohonan setakat ini, majoriti pemohon tidak diluluskan disebabkan tidak memenuhi kriteria kelayakan, antaranya petani dan pekebun kecil tidak berdaftar dengan kementerian berkaitan.
Justeru, MOF mengingatkan pemohon individu tidak diluluskan membuat semakan permohonan serta mengemukakan rayuan di https://budimadani.gov.my.
Bagi petani dan pekebun kecil belum berdaftar dengan agensi di bawah kementerian berkaitan, mereka dinasihatkan berbuat demikian sebelum mengemukakan permohonan Budi Madani.
Maklumat lanjut boleh didapati di https://budimadani.gov.my atau hubungi talian bantuan 1-800-88-2747 / 03-88824565 / 03-88824566.
Orang ramai juga boleh e-mel budimadani@treasury.gov.my serta mengunjungi pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Semenanjung Malaysia.
Dianggarkan 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak menerima Budi Individu, manakala 68,000 petani, 8,000 penternak dan 34,000 pengusaha akuakultur berskala kecil layak menerima manfaat Budi Agri Komoditi.