Calon daripada PKR akan bertanding di PRK Sungai Bakap selepas kepimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sepakat mengenainya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Kedudukan Umno yang diterima baik di Pulau Pinang, selain peranan Ketua Umno Nibong Tebal Rashidi Zainol sebagai exco negeri mampu memadamkan ‘risiko perpecahan’ dalam kalangan akar umbi selepas hasrat parti itu untuk bertanding di DUN Sungai Bakap, tidak kesampaian.
Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan akan meletakkan calon daripada PKR untuk bertanding di PRK Sungai Bakap, selepas kepimpinan PH dan Barisan Nasional (BN) sepakat mengenainya.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata suara akar umbi menuntut kerusi diserahkan kepada Umno adalah tuntutan biasa dalam proses rundingan, namun hakikatnya Umno sedar peluang PKR yang menang di Sungai Bakap sejak 2008 sebelum dirampas oleh PAS pada 2018 lebih cerah.
Mengambil contoh semangat perpaduan di PRK Kuala Kubu Baharu baru-baru ini, Hisommudin berkata akar umbi Umno menunjukkan mereka sudah membuka pintu perdamaian dengan PH khususnya DAP, dan elemen protes yang berlaku pada PRU lalu sudah pulih.
Hisomudin Bakar.
“Ahli putih Umno sudah mulai kembali kerana PN tidak menguruskan mereka dengan baik selepas menerima keuntungan hasil dari protes mereka,” katanya kepada FMT.
Justeru, beliau berpandangan elemen protes dalam kalangan akar umbi sangat minimum dan boleh diurus oleh pucuk pimpinan Umno di negeri itu.
“Aspek sabotaj dan protes adalah minimum, dan peranan Rashidi yang juga exco adalah kedudukan terbaik buat Umno memulihkan keadaan dan sokongan di kawasan ini,” katanya.
Hisommudin berkata, walaupun komposisi kaum Melayu lebih tinggi iaitu 60%, kerusi DUN Sungai Bakap masih dalam kawasan etnik bercampur, dan ia kelebihan buat PH yang penyokongnya hadir dari etnik CIna dan India.
“Berdasarkan rekod pencapaian melibatkan pertembungan tiga penjuru, BN tewas kepada PH pada tahun 2018. Malah BN tewas dalam PRU 2008 dan 2013 kepada PH. Dengan trend sebegitu menunjukkan peluang PH lebih baik dipertaruhkan berbanding Umno-BN,” katanya.
Melihat kepada kombinasi tiga DUN dalam Parlimen Nibong Tebal pula, katanya adalah signifikan untuk DUN Sungai Bakap diwakili PKR memandangkan Sungai Acheh kini diwakili BN, manakala Jawi (DAP).
Ariff Aizuddin Azlan.
Turut senada, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berkata walaupun terdapat suara sumbang mahu Umno bertanding di Sungai Bakap, ia tidak memberi kesan besar kepada gerak kerja jentera Umno dalam membantu calon perpaduan.
“Situasi seperti ini memang tidak dapat dielakkan dan memang tidak dinafikan akan timbul suara dan hasrat untuk bertanding di kerusi tersebut namun ia tidaklah sehingga membawa kepada fenomena sabotaj berskala besar.
“Selain itu kita sedia maklum akan komitmen yang dinyatakan oleh Umno untuk membantu rakan dalam komponen kerajaan iaitu PKR dan PH untuk merampas kembali kerusi tersebut dari PAS,” katanya.
Azmi Hassan.
Azmi Hassan, felo Majlis Profesor Negara (MPN) pula berkata jika calon Umno diletakkan di Sungai Bakap, parti itu hanya mempunyai penyokong Melayu, berbeza dengan PKR yang memiliki sokongan tiga kaum utama.
“Sama ada penyokong Umno akan sabotaj tak keluar mengundi, kemungkinan ini tidak berlaku kerana justifikasi mereka untuk dapatkan kerusi ini adalah begitu lemah dan tidak kuat.”
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff daripada PAS pada 24 Mei lalu.
Zamri, yang juga ketua PAS Nibong Tebal memenangi kerusi itu dalam pilihan raya negeri Ogos lalu apabila menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 selepas memperoleh 15,433 undi.
FMT sebelum ini melaporkan terdapat gesaan pemimpin Umno Pulau Pinang agar PH memberi laluan kepada BN bertanding di PRK Sungai Bakap bagi menghargai sumbangan Umno dalam kerajaan perpaduan yang mengangkat Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan memenangkan calon PH, Pang Sock Tao pada PRK Kuala Kubu Baharu.
Umno pernah memenangi kerusi itu pada PRU 2004.