Pokok tumbang hempap 2 kereta di Klang

Sebatang pokok tumbang menghempap 2 kereta di Jalan Kapar Batu 6, Klang, pada kira-kira 3 petang tadi.

PETALING JAYA: Dua kenderaan, termasuk sebuah kereta dinaiki empat beranak, dihempap pokok tumbang di Jalan Kapar Batu 6, Klang, petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan pada 3.10 petang, enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Utara digerakkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, sebuah kereta dinaiki sepasang suami isteri berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun bersama dua orang anak, dan manakala sebuah lagi dipandu wanita berusia lingkungan 40-an.

“Kesemua mereka termasuk, dua kanak masing-masing lelaki dan perempuan terselamat, dan keluar sendiri daripada kenderaan sebelum bomba tiba,” katanya menambah, kesemua yang terlibat tidak cedera, lapor Bernama.

Ahmad Mukhlis berkata, pihak bomba sedang giat melakukan kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok berkenaan.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *