
Ahmad Emin Nazrul Ahmad Nazrin, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini terhadap 90 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM84,800 sejak Mei 2017 sehingga September tahun lalu.
PETALING JAYA: Seorang pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas 90 pertuduhan menerima rasuah RM84,800 sepanjang lebih enam tahun.
Tertuduh, Ahmad Emin Nazrul Ahmad Nazrin, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali, lapor Harian Metro.
Tertuduh didakwa menerima suapan daripada pemilik syarikat Kalos Enterprise melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank tertuduh sebagai dorongan tidak memeriksa lori kargo milik syarikat itu, yang membawa keluar barang dari Kargo KLIA.
Semua kesalahan itu dilakukan di Maybank Berhad di Jalan Mahmood, di sini bermula 20 Mei 2017 sehingga 3 September 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Adhwa’ Afiqah Mohd Azmi.
Terdahulu, ‘Afif mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 dikenakan terhadap tertuduh memandangkan jumlah kes yang banyak dan membabitkan nilai sebanyak RM84,800.
Adhwa’ Afiqah pula memohon jaminan RM15,000 dikenakan dengan alasan tertuduh mempunyai tiga anak yang masih kecil dan isteri tidak bekerja.
Katanya, tertuduh kini bertugas di JKDM Kelana Jaya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan termasuk melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya setiap bulan selain pasport diserahkan kepada SPRM.
Mahkamah turut menetapkan 21 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.