Muhyiddin kata kerajaan prihatin kehilangan Amri, Koh, mahkamah diberitahu

Suhakam mendapati Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat menjadi mangsa kehilangan secara paksa yang dilakukan oleh negeri, khususnya Cawangan Khas.

KUALA LUMPUR: Pengasas bersama NGO Perlis Hope memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas menteri dalam negeri Muhyiddin Yassin memaklumkan kepada keluarga Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh bahawa kerajaan prihatin mengenai kehilangan kedua-duanya.

Faisol Abd Rahman berkata, kedua-dua keluarga bertemu Muhyiddin pada 2019 selepas inkuiri awam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mencapai kesimpulan bahawa Koh dan Amri menjadi mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh kerajaan, khususnya Cawangan Khas.

Katanya, beliau membantu keluarga mangsa mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin melalui bekas setiausaha politiknya, Marzuki Mohamad.

“Saya hadiri pertemuan itu bersama isteri Pastor Koh, Susanna (Liew) dan isteri Amri, Norhayati (Ariffin), serta peguam mereka. Kami buat keputusan jumpa (Muhyiddin) selepas (inkuiri awam) Suhakam … untuk cari penyelesaian.

“Beliau kata (kerajaan) ambil perkara ini serius. Katanya, beliau akan bincang, jalankan siasatan. (Beliau beritahu kami) jangan bimbang, beliau prihatin (tentang apa yang berlaku),” katanya sebagai respons kepada peguam Liew, Steven Thiru, yang bertanya mengapa mereka berjumpa dengan Muhyiddin.

Faisol juga berkata, menteri industri utama ketika itu, Teresa Kok, dan bekas timbalan menteri belia dan sukan Steven Sim turut hadir pada pertemuan itu.

Beliau memberikan keterangan pada perbicaraan saman Liew terhadap pasukan polis, ketua polis negara (KPN) dan beberapa bekas pegawai tinggi polis berhubung kehilangan Koh.

Senarai defendan termasuk bekas KPN Khalid Abu Bakar dan Fuzi Harun, serta bekas ketua penolong pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Cawangan Khas Bukit Aman Awaludin Jadid.

Selain itu, bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed, bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat, dan pegawai polis Supari Muhammad, Khor Yi Shuen; Hazril Kamis; Shamzaini Daud; dan Saiful Bahari Abdul Aziz menjadi defendan.

Liew menuntut ganti rugi atas kehilangan Koh, serta agar pihak berkuasa dipertanggungjawabkan atas penculikan Koh yang menyalahi undang-undang, dan penyelewengan (misfeasans) dalam jawatan awam.

Faisol juga memberitahu mahkamah, beliau mengetahui tentang kehilangan Koh melalui media sosial selepas video menunjukkan Koh didakwa diculik pada 13 Feb 2017 menjadi tular.

Mahkamah juga akan mendengar permohonan Liew untuk penzahiran laporan pasukan tugas khas Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai kehilangan Koh pada 29 Julai.

KDN menubuhkan pasukan tugas khas untuk menyiasat kesimpulan yang dicapai oleh Suhakam dalam inkuirinya.

Kementerian mahupun pasukan tugas khas itu tidak mendedahkan laporan tersebut kepada umum, walaupun didesak berkali-kali untuk berbuat demikian oleh pelbagai pihak, termasuk Suhakam dan beberapa NGO lain. Laporan itu diklasifikasikan sebagai rahsia kerajaan.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *