Gaduh di Cameron Highlands: Polis cari suspek dikenali sebagai ‘Deni’

Gaduh di Cameron Highlands: Polis cari suspek dikenali sebagai ‘Deni’

KUANTAN: Polis sedang berusaha mengesan suspek yang dikenali sebagai ‘Deni’ bagi membantu siasatan dalam kes pergaduhan tiga lelaki warga Indonesia di tepi jalan Trangkap, Cameron Highlands pada 30 Mei lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek lelaki berusia 30-an itu yang dipercayai masih berada dalam negara, diminta menghubungi mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan.

“Suspek telah dikenal pasti dan gambar ‘orang yang dikehendaki’ itu akan diedarkan,“ katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontingen Pahang di sini hari ini.

Pergaduhan pada hari Khamis lepas menyebabkan seorang pekebun kontrak lelaki maut manakala rakannya ditemui dalam keadaan cedera parah kira-kira 500 meter daripada mayatnya.

Terdahulu Yahaya dalam ucapan di perhimpunan bulanan Polis Pahang berkata statistik rekod Jenayah Siasatan Komersial (JSJK) negeri menunjukkan pengurangan kepada 869 kes bagi tempoh Januari hingga Mei lepas, berbanding 932 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Bagaimanapuun jumlah kerugian yang ditanggung bagi tempoh berkenaan meningkat mendadak hingga RM42 juta berbanding RM18 juga bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata dari segi tangkapan pula menunjukkan peningkatan, iaitu 693 tangkapan dibuat setakat ini pada 2024 berbanding 576 bagi tahun 2023, manakala dari segi pertuduhan JSJK Pahang telah melaksanakan 326 jumlah kertas pertuduhan,” katanya.

Sementara itu Yahaya berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang pula berjaya membuat 6,114 tangkapan yang melibatkan 5,555 kes berkaitan pelbagai kesalahan narkotik bagi tempoh Januari hingga Mei lepas.

Beliau berkata JSJN Pahang juga telah berjaya mencapai 90 peratus kadar penyelesaian 4,815 kes daripada 5,527 kertas sisatan yang dibuka.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *