
Exco Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata aplikasi MyRentas untuk digunakan di Bangunan Sultan Iskandar sedang dilengkapkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Penggunaan kod QR di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) menerusi aplikasi MyRentas dijangka mula dilaksanakan dalam tempoh dua minggu lagi.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata ada penambahbaikan perlu dilakukan pihak berkenaan sebelum ia diuji pengguna.
Katanya, ketika ini, penggunaan kod QR hanya digunakan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Laluan Kedua (LinKedua).
“Kod QR telah bermula di KSAB pada Sabtu lalu bagi warganegara Malaysia yang menaiki bas dan motosikal melakukan pendaftaran MyTrip yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera. Namun, di BSI membabitkan laluan Tambak Johor, vendor masih lagi melengkapkan aplikasi MyRentas dan dijangka akan dapat digunakan dua minggu lagi,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Fazli berharap pengembara Malaysia dan Singapura dapat memuat naik aplikasi dibangunkan bagi penggunaan kod QR.
Beliau juga berkata orang ramai menyambut baik penggunaan kod QR di KSAB.
“Setakat ini, berjalan lancar di KSAB, belum ada apa-apa masalah termasuk isu teknikal yang ketara. Jika ia dapat memendekkan proses sehingga lima saat bagi seorang pengguna, ia dapat melancarkan pergerakan kemasukan pengembara lebih tinggi,” katanya.