
Pengasas bersama Asia Mobiliti, M Ramachandran dan Premesh Chandran, mempertahankan syarikat itu selepas timbul persoalan mengenai pemilihannya.(Gambar Asia Mobiliti)
PETALING JAYA: Pengasas bersama syarikat yang terpilih untuk pembuktian konsep suatu projek pengangkutan di Selangor berkata beliau juga akan mempersoalkan urusan itu sekiranya dia masih di dalam media.
Premesh Chandran, bekas CEO Malaysiakini, berkata sekiranya beliau bukan sebahagian Asia Mobiliti Technologies Sdn Bhd, beliau akan mengajukan soalan-soalan seperti yang ditujukan terhadap syarikat itu.
Antara soalan yang akan diajukan ialah kenapa Asia Mobiliti dipilih, apakah pemilihan itu berdasarkan merit, dan kejayaan penyampaian sebelum ini, katanya dalam suatu audio siar.
Sebelum ini, persoalan timbul apabila Asia Mobiliti Technologies Sdn Bhd menjadi salah satu daripada dua syarikat dilibatkan oleh kerajaan negeri dalam proses pembuktian konsep ‘bus-on-demand’ di Selangor, bagi tempoh hanya selama sembilan bulan dari November 2023 hingga Julai 2024.
CEO syarikat itu Ramachandran Muniandy, suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata ia menjalankan siasatan lanjut berhubung isu pelantikan itu, manakala Yeoh mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa itu.
Premesh akui beliau memahami kebimbangan sekitar kaitan Ramachandran dengan Yeoh itu, namun beliau gesa orang ramai perhatikan fakta-fakta sekitar pemilihan syarikat itu, lapor Scoop.
Ramachandran berkata orang ramai patut ambil kira keupayaan dan rekod prestasi syarikat dalam menyelesaikan masalah pengangkutan, dan menambah projek yang dikendalikan itu sedang menuju ke bulan ketujuh sejak terpilih pada Oktober.
“(Seolah-olah pengkritik kata) kami tidak kisah anda sebagus mana, kami mahu tengok anda berkahwin dengan siapa. Mereka tidak kisah sama ada kami boleh melakukan kerja itu atau tidak… jenis apa logik ini?” katanya.
Katanya, Asia Mobiliti telah membuktikan ia memiliki kepakaran dan memperolehi lesen secara wajar.
Syarikat lain yang dilibatkan ialah Badanbas Coach Sdn Bhd.