Pada Jumaat, tentera Israel mengisytiharkan tamatnya serangan mereka di kawasan Jabalia, Semenanjung Gaza, selepas 20 hari. (Gambar AP)
BANDARAYA GAZA: Lebih 120 mayat rakyat Palestin ditemukan dalam runtuhan dua hari selepas tentera Israel meninggalkan Kem Jabalia di utara Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).
Sumber perubatan di Hospital Kamal Adwan berkata, kru kecemasan dan pasukan pertahanan awam menemukan lebih 120 mayat rakyat Palestin dari jalan-jalan yang musnah dan di bawah runtuhan bangunan di Kem Jabalia, dengan kerja-kerja membersihkan sampah dan runtuhan masih diteruskan.
Pada Jumaat, tentera Israel mengisytiharkan tamatnya serangan mereka di kawasan Jabalia selepas 20 hari.
Di tengah-tengah dakwaan bahawa Tel Aviv menyembunyikan angka korban yang tepat, serangan itu juga telah meragut nyawa 10 askar Israel.
Hampir 36,400 rakyat Palestin maut di Gaza sejak Israel memulakan serangan hampir lapan bulan lepas.
Majoriti yang terbunuh terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, dengan lebih 82,400 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Sebahagian besar Gaza dalam keadaan musnah di tengah-tengah sekatan Israel yang menghalang bekalan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan.
Israel dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dan dalam keputusan terbarunya mengarahkan Tel Aviv segera menghentikan operasi di Rafah, di mana lebih sejuta rakyat Palestin mencari perlindungan