Jasad pendaki Malaysia dibawa turun dari Gunung Denali

Jasad Zulkifli Yusof, seorang pendaki Malaysia yang meninggal dunia di Gunung Denali, Alaska, AS, telah berjaya dibawa turun dan sedang menunggu bedah siasat, kata Wisma Putra. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Jasad seorang pendaki gunung dari Malaysia yang dilaporkan meninggal dunia di Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat selamat dibawa turun dengan bantuan pihak berkuasa tempatan, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra).

Jasad Zulkifli Yusuf kini berada di pejabat kesihatan tempatan, menunggu untuk dibedah siasat, sebelum dibawa pulang ke Malaysia, mengikut hasrat waris, katanya.

“Konsulat Jeneral Malaysia (di Los Angeles) akan meneruskan bantuan yang sewajarnya agar pengurusan dan penghantaran pulang jenazah dapat berjalan dengan lancar,” kata Wisma Putra, lapor Bernama.

Terdahulu, Kelab Jelajah Alpine Malaysia memaklumkan Zulkifli, 37, dilaporkan meninggal dunia pada 6 pagi (waktu tempatan) Rabu semasa berlindung di dalam gua salji yang dikenali sebagai ‘Football Field’

“Punca kematian Zulkifli disyaki akibat ‘high altitude cerebral edema’ dan hipotermia. Perkara itu akan disahkan melalui bedah siasat,” katanya.

Kelab itu berkata, seorang lagi pendaki, Zainudin Lot, 47, berjaya diselamatkan pada Jumaat dan kini sedang dirawat di sebuah hospital di Talkeetna, Alaska.

“Keadaannya stabil dan beliau mengalami radang dingin pada kedua-dua tangannya,” tambahnya.

Denali National Park & Preserve dalam satu kenyataan pada 31 Mei mengesahkan pendaki pertama daripada tiga pendaki yang terkandas, Muhammad Illaham Ishak, 47, diselamatkan pada 28 Mei.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *