Beri rebat tarif air, tuntut balik dari SPAN, kata Guan Eng

Lim Guan Eng berkata, pengguna marah dengan kenaikan ‘mengejut’ tarif air dan Adun mereka berdepan tekanan.

PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta kerajaan negeri mempertimbangkan pemberian rebat 20 sen bagi menampung kenaikan tarif air baru-baru ini kerana ia boleh memohon bayaran balik daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Katanya, beliau telah mengesahkan perkara itu dengan Pengerusi SPAN, Charles Santiago bahawa rebat masih boleh diberikan.

Menurutnya, Santiago memaklumkan kerajaan Pulau Pinang masih boleh memohon rebat dan SPAN akan mempertimbangkannya.

“Jika anda tak percaya, anda boleh tanya beliau,” kata Adun Air Putih itu menurut Kwong Wah Yit Poh.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mempertahankan kenaikan tarif air dengan menyatakan ia diluluskan SPAN dan ia tidak dapat diubah memandangkan kadar baharu telah diwartakan.

Lim berkata, pengesahan Santiago bahawa negeri boleh memohon rebat bermakna “kekangan undang-undang tidak lagi wujud” dan Chow sepatutnya mendengar suara rakyat serta memohon rebat.

Bekas menteri kewangan itu juga berkata, cadangannya untuk rebat 20 sen akan memberi masa rakyat Pulau Pinang B40 dan M40 menyesuaikan diri dengan tarif air baharu.

Beliau percaya rebat selama setahun tidak akan memberi kesan kewangan besar kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang.

Katanya, hampir semua penyokong kerajaan meminta rebat mengambil kira kenaikan itu “terlalu mendadak” dan pengguna menunjukkan “reaksi keras”.

Beliau berkata, Adun juga berdepan tekanan dan rebat mampu mengurangkan “kemarahan rakyat”.

Kadar tarif baharu ialah 62 sen bagi 20m padu pertama (meningkat 182% daripada 22 sen); RM1.17 bagi jalur dua melebihi 20 hingga 35m padu (naik 154% daripada 46 sen) serta RM2.07 bagi jalur tiga lebih 35m padu.

Januari lalu, Chow dilaporkan berkata golongan B40 tidak menerima kesan kenaikan tarif air kerana mereka layak mendapat Rebat Mesra Keluarga, yang meliputi isi rumah B40 lebih lapan orang dan pendapatan isi rumah bawah RM2,250.

Mereka yang layak untuk skim itu akan menerima rebat RM10 setiap bulan.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *