Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya kepada pihak yang menjual barangan dalam talian dengan harga rendah.
PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan kerugian hampir RM200,000 selepas terpedaya ‘membeli’ motosikal dengan nombor pendaftaran pilihan menerusi Facebook baru-baru ini.
Lelaki berusia 49 tahun itu mendakwa berurusan dengan seseorang yang tidak dikenali melalui WhatsApp untuk tujuan tersebut, kata Ketua Polis Seremban Mohamad Hatta Che Din.
Beliau berkata, mangsa membuat tujuh pembayaran kepada individu tersebut pada 24 hingga 28 Mei lepas dengan jumlah keseluruhan RM179,376 untuk pembelian tujuh motosikal Honda.
“Dia kemudian menyedari ditipu selepas tidak menerima motosikal yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis semalam,” katanya, lapor Bernama.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Mohamad Hatta menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya kepada pihak yang menjual barangan dalam talian dengan harga rendah dan segera membuat semakan agar tidak tertipu.