17,000 pekerja Bangladesh terkandas, Dhaka mohon lanjutan masa

Ramai pekerja asing dilihat berada di KLIA menjelang 31 Mei, iaitu tarikh akhir bagi mereka yang mempunyai visa yang diluluskan tiba di Malaysia.

PETALING JAYA: Bangladesh memohon kepada Malaysia agar hampir 17,000 pekerja Bangladesh yang mempunyai visa kerja yang diluluskan, namun terlepas tarikh akhir 31 Mei untuk tiba di Malaysia, dibenarkan masuk.

Shofiqur Rahman Choudry, menteri kebajikan ekspatriat dan pekerjaan di luar negara Bangladesh, menggesa tempoh khas diberikan sekali untuk pekerja-pekerja ini memasuki Malaysia.

Beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh Haznah Md Hashim pada Rabu, katanya.

Choudry berkata, beliau telah merayu kepada Haznah dua minggu lepas agar tarikh akhir kemasukan pekerja dilanjutkan, kerana ‘masalah ini telah dijangka’.

Beliau berharap kerajaan Malaysia akan mempertimbangkan nasib pekerja ‘yang masa depannya bergantung pada pekerjaan di Kuala Lumpur’.

Jika tidak, mereka akan mengalami kesusahan yang melampau, katanya, memandangkan ramai antara mereka telah menghabiskan simpanan atau meminjam wang untuk membayar ejen bagi dokumentasi.

Katanya, taufan, ketiadaan penerbangan, dan koordinasi ejen yang lemah menghalang ramai pekerja pergi ke Dhaka, kemudian ke Malaysia.

Choudry berkata, semua pekerja mempunyai visa dengan rujukan yang diluluskan dari Jabatan Imigresen Malaysia, serta kad sah dari Biro Tenaga Kerja, Pekerjaan dan Latihan Bangladesh, yang dikeluarkan sebaik visa diluluskan dan mereka bersedia melakukan perjalanan.

Sepanjang minggu lepas, ejen dan majikan bergegas menguruskan kemasukan pekerja dari Bangladesh sebelum tarikh akhir 31 Mei yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia pada Januari untuk pekerja masuk.

Pekerja dilaporkan terpaksa membayar lebih untuk penerbangan mereka dan memenuhi tuntutan bayaran pengambilan yang tinggi oleh ejen yang tidak bertanggungjawab.

Choudry berkata, kementeriannya membentuk jawatankuasa yang dianggotai oleh enam ahli untuk menyiasat dakwaan ini. Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (Baira) mungkin bertanggungjawab atas isu ini, tambahnya.

“Persatuan itu tidak memberikan kerjasama apabila kami meminta senarai nama untuk mengatur penerbangan. Kami akan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, keutamaan kementeriannya sekarang adalah memastikan pekerja yang terkandas dapat sampai ke Malaysia secepat mungkin.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *