Berdasarkan rekod terdapat kira-kira 7,900 penternak akuakultur yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan di Semenanjung. (Gambar Bernama)
BUKIT MERTAJAM: Pengusaha ternakan akuakultur di bawah Jabatan Perikanan digesa untuk mendaftar dengan sistem GeoAgro sebelum membuat permohonan bagi program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani).
Ketua Pengarah Perikanan Adnan Hussain berkata berdasarkan rekod terdapat kira-kira 7,900 penternak akuakultur yang berdaftar dengan jabatan itu di Semenanjung, dan hanya 1,232 yang memohon untuk mendapatkan sumbangan susulan penyasaran subsidi diesel.
“Seperti semua sedia maklum kerajaan sekarang ini sedang melaksanakan penyasaran subsidi jadi kita hendak menggalakkan penternak supaya berdaftar dengan GeoAgro terlebih dahulu bagi mendapatkan data-data asas.
“Kita ada lebih kurang 7,900 penternak akuakultur yang berdaftar di Semenanjung, justeru, kita mengharapkan agar kumpulan sasar ini dapat daftar segera dan sekiranya layak dengan syarat ditetapkan, maka langkah seterusnya adalah memohon Budi Madani bagi membolehkan mereka menerima bantuan dan insentif yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival myAgroprenur (myAP) dan myKomuniti Perikanan (myKP) Zon Utara 2024, yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Pengembangan Perikanan Khazlita Adzim Abdol Aziz.
Kementerian Kewangan menerusi kenyataan memaklumkan pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil, dan pekebun kecil komoditi daripada golongan B40 dan M40 di Semenanjung layak memohon bagi sumbangan tunai kerajaan menerusi Program Budi Madani mulai 28 Mei.
Adnan berkata pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak boleh membuat permohonan itu di bawah kategori Budi Individu manakala petani dan pekebun kecil di bawah Budi Agri-Komoditi.
Dalam pada itu, beliau berkata tiga subsektor utama perikanan di bawah jabatan itu akan terlibat dengan Bancian Pertanian 2024 yang bakal dilaksanakan Jabatan Perangkaan selama tiga bulan bermula 7 Jul hingga 10 Okt ini.
“Ia meliputi subsektor perikanan tangkapan yang melibatkan nelayan yang menangkap ikan di laut, subsektor akuakultur, dan juga subsektor nelayan darat yang menangkap ikan di sungai, tasik, dan lombong.
“Ketika ini, kita ada lebih kurang 49,000 bot penangkapan ikan berlesen yang berdaftar di seluruh negara selain 21,000 penternak akuakultur dan 14,000 nelayan darat. Kumpulan ini dijangka terlibat dalam banci yang akan dijalankan dan kita harap kerjasama sepenuhnya akan diberikan oleh mereka bagi menjayakan bancian ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin menganggarkan sebanyak 1.6 juta pihak dalam sektor pertanian terlibat dalam Banci Pertanian 2024, melibatkan kumpulan petani, pemegang kecil serta pertubuhan dan syarikat besar berkaitan pertanian.