Calon PRK Sungai Bakap diputus selepas bincang, kata Zambry

Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir berkata, berdasarkan tradisi BN dan konteks kerajaan perpaduan, perlu ada semangat saling hormat-menghormati walaupun ada gesaan untuk gabungan itu bertanding pada PRK Sungai Bakap.

KUALA LUMPUR: Calon PRK Sungai Bakap akan diputuskan selepas perbincangan pimpinan parti dalam kerajaan perpaduan, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, pihaknya maklum terdapat gesaan untuk BN meletakkan calon bertanding di kerusi DUN itu, tetapi keputusan tertakluk kepada kepimpinan parti, dengan mengambil kira status kerusi berkenaan.

“Biasanya, dalam keadaan begini kita berbincang, hasrat mungkin ada kata nak letak calon, semua parti berkeinginan, akhirnya kita buat keputusan bersama.

“Dalam tradisi BN dan konteks kerajaan hari ini, dalam kerjasama yang ada, perlu ada semangat saling hormat-menghormati,” katanya pada sidang media prapelancaran sambutan ulang tahun ke-50 BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

FMT sebelum ini melaporkan terdapat gesaan pemimpin Umno Pulau Pinang agar Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada BN bertanding di PRK Sungai Bakap.

Seorang pemimpin yang enggan dikenali dilaporkan berkata, langkah itu demi menghargai sumbangan Umno dalam kerajaan perpaduan yang mengangkat Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan memenangkan calon PH, Pang Sock Tao pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Umno pernah memenangi kerusi itu pada PRU 2004, sebelum dirampas PH dan kemudiannya PN pada PRN Ogos lalu, di mana calonnya, Nor Zambri Latiff yang juga ketua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose.

Zambri meninggal dunia akibat keradangan perut dan Suruhanjaya Pilihan Raya dijadualkan bermesyuarat 6 Jun ini bagi menentukan tarikh penamaan calon serta hari pengundian.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *