Bekalan lembu untuk Aidiladha di Johor cukup – Exco

Bekalan lembu untuk Aidiladha di Johor cukup – Exco

JOHOR BAHRU: Bekalan lembu untuk keperluan sambutan Aidiladha di Johor berada ditahap mencukupi, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip.

Beliau berkata setakat ini tiada laporan mengenai kekurangan bekalan dan kenaikan harga jualan daging lembu diterima.

“Tiada maklumat kekurangan (bekalan lembu) kita peroleh, ia cukup dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sentiasa memantau perkara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan Industri Asas Tani (IAT) anjuran Jabatan Pertanian Negeri Johor 2024 di Angsana Johor Bahru Mall di sini hari ini.

Zahari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bekalan lembu bagi sambutan Aidiladha di negeri ini.

Selain itu, menurutnya JPV sentiasa memantau pusat kebenaran sembelihan sementara sempena Aidiladha bagi memastikan ia memenuhi syarat yang ditetapkan sebelum diberikan permit.

“Syaratnya termasuk premis mestilah mempunyai bangunan dan infrastruktur yang ditetapkan seperti ‘holding yard’, tempat sembelihan, tempat melapah, sistem kumbahan selain mempunyai ruang eviserasi bagi urusan mengeluarkan isi perut dan organ dalaman.

“Tempat tersebut juga mestilah dibersihkan dan dibasmi kuman sebelum serta selepas aktiviti penyembelihan,” katanya menambah permohonan permit itu telah dibuka pada 15-29 Mei lepas.

Zahari berkata sebanyak 205 pusat kebenaran sembelihan sementara mendapat kelulusan JPV bagi tujuan penyembelihan haiwan korban pada tahun lepas.

Terdahulu, seramai 80 usahawan menyertai Karnival Usahawan IAT yang berlangsung selama tiga hari hingga esok dengan 75 peratus pembayaran reruai ditaja kerajaan negeri.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *