
Suspek didakwa rasuah penjawat awam bagi ubah status tanah rizab Melayu seluas 650 hektar. (Gambar Reuters)
IPOH: Pengarah urusan sebuah syarikat berkaitan hartanah yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa, telah dibebaskan hari ini.
Majistret S Punitha membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam mewakili suspek.
Menurut sumber, suspek bebas dengan jaminan RM50,000 beserta dua penjamin dan perlu hadir ke Pejabat SPRM setiap bulan.
Pada Isnin, SPRM menahan suspek ketika hadir memberi keterangan di pejabat agensi itu di sini kerana disyaki memberi rasuah kepada seorang penjawat awam bagi mengubah status tanah rizab Melayu seluas 650 hektar.
“Ini menyebabkan tanah rizab Melayu tersebut dipecah sempadan dan dipindah milik kepada syarikat serta individu bukan Melayu,” katanya.
Berikutan itu, suspek direman empat hari bermula Selasa lepas.
Pengarah Kanan Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.