Polis siasat kes tentera dakwa cedera dipukul penyokong bola sepak

Rakaman video berdurasi 17 saat yang tular di media sosial memaparkan kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di pekarangan Stadium TLDM Lumut, Perak, Isnin lepas.

PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat kes seorang anggota tentera laut yang mendakwa cedera akibat dipukul di Stadium Pangkalan TLDM Lumut Isnin lepas, yang rakaman kejadiannya menjadi tular.

Ketua Polis Manjung Mohamed Nordin Abdullah berkata, anggota tentera berusia 26 tahun itu melaporkan beliau dipukul secara beramai-ramai ketika sedang menonton perlawanan bola sepak pada kira-kira 7.15 malam.

Pengadu mendakwa, beliau dipukul oleh penyokong salah satu pasukan bola sepak yang terlibat dalam perlawanan malam itu disebabkan rasa tidak puas hati.

“Penyokong (pasukan bola sepak) terbabit menuduh mangsa menunjukkan isyarat jari tengah kepada mereka sedangkan mangsa tidak berbuat demikian.

“Mangsa yang cedera di muka, rusuk kanan, leher kiri dan kepala sudah menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera,” kata Mohamed Nordin dalam kenyataan.

Kes disiasat bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan. Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” kata Mohamed Nordin.

Terdahulu,tular di media sosial rakaman video berdurasi 17 saat yang memaparkan kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di pekarangan stadium tersebut.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *